Selasa, 11 Disember 2018 | 9:27am
JURULATIH Senaman Kecergasan, Abdul Mutholib Zakaria (kiri) mengetuai senaman bersama 1000 penduduk sekitar Kuantan. - NSTP/Azim Fitri

1,000 orang sertai senaman kecergasan dalam pusat beli-belah

KUANTAN: Demi menyahut seruan kerajaan dalam mengamalkan gaya hidup sihat, lebih 1,000 penduduk di daerah ini tidak melepaskan peluang menyertai senaman kecergasan yang dianjurkan di sebuah kompleks beli-belah, di sini.

Senaman kecergasan diketuai jurulatih Abdul Mutholib Zakaria bermula seawal jam 4.30 petang semalam, yang mana ia menggabungkan aspek pergerakan fizikal anggota badan serta kata-kata motivasi daripada jurulatih.

Abdul Mutholib atau lebih dikenali sebagai Big Bad Mustalib, 39, berkata, beliau mengambil inisiatif menganjurkan aktiviti senaman terbesar di pantai timur tahun ini melalui pusat kecergasan dimilikinya di Inderapura di sini, kerana menyedari masih ramai masyarakat yang tidak ambil peduli mengenai kesihatan masing-masing.

Katanya, Malaysia antara negara yang mempunyai penduduk obesiti teramai di Asia dan beliau memandang perkara itu adalah sesuatu yang perlu diubah.

“Ada di kalangan masyarakat kita mereka mahu sihat dan ingin bersenam secara konsisten, tetapi mereka malu kerana tiada rakan.

“Selain itu untuk terus bersenam secara konsisten mereka perlukan suasana yang bermotivasi selain teknik dan disiplin yang betul untuk mereka capai apa yang mereka inginkan,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengendalikan acara senaman itu, di sini.

Beliau yang berpengalaman dalam industri kecergasan selama lebih 10 tahun turut menjadi jurulatih di pusat kecergasannya dengan memiliki kira-kira 600 peserta.

Anak kelahiran Kuantan itu berkata, beliau mencadangkan untuk menganjurkan aktiviti senaman dalam kompleks beli belah bersama pesertanya kerana ingin memberi inspirasi kepada masyarakat untuk bergiat aktif dengan teknik senaman yang betul.

“Kebiasaan peserta di pusat kecergasan saya akan hadir setiap Isnin hingga Sabtu dan Ahad mereka akan rehat. Tetapi saya ubah rancangan minta mereka hadir pada hari Ahad dan kita lakukan bersama di tempat terbuka.

“Saya yakin aktiviti ini akan beri inspirasi kepada mereka di luar sana untuk capai berat badan yang diinginkan selain kekal cergas dan sihat,” katanya.

Abdul Mutholib berkata, hasil senaman diterapkan dan disiplin pemakanan ditekankan pusat kecergasannya ada dalam kalangan peserta berjaya menurunkan berat badan sebanyak 14.5 kilogram seminggu.

309 dibaca
Berita Harian X