Khamis, 6 Disember 2018 | 2:13pm
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir pada majlis pelancaran KPI Kerajaan Negeri Sabah sempena Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sabah 2018 di Auditorium Utama, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), Kota Kinabalu, hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan Sabah tetapkan 10 bidang keberhasilan utama, 316 KPI

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menggariskan 10 Bidang Keberhasilan Utama dan memberi tumpuan kepada 316 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai agenda penting pembangunan negeri yang disasarkan perlu dicapai pada tahun depan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pelaksanaan inisiatif itu adalah strategi baharu kerajaan yang digerakkan oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) bersama 11 kementerian dan jabatan di bawahnya.

“10 Bidang Keberhasilan Negeri yang berimpak tinggi dan berupaya melestarikan kemajuan dan kemakmuran rakyat negeri ini termasuklah Jaminan Hak dan Kepentingan Rakyat; Keselamatan, Perpaduan dan Keharmonian Rakyat; Pembangunan Prasarana dan Infrastruktur serta Pemilikan Tanah.

“Selain itu, Pelajaran, Inovasi, Pembangunan Belia dan Sukan; Peningkatan Kualiti Kesihatan Awam dan Kesejahteraan Rakyat; Pelancongan, Perlindungan dan Pemuliharaan Alam Semulajadi; Pembangunan Ekonomi dan Sosioekonomi Setempat; Warisan, Keagamaan, Kepercayaan Etnik dan Institusi Kekeluargaan serta Peningkatan Keupayaan Perkhidmatan Awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 200 penjawat awam pada pelancaran KPI Kerajaan Negeri Sabah sempena Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sabah 2018 di Auditorium Utama, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hashim Paijan.

Mohd Shafie berkata, sebuah unit khas iaitu Unit Penyampaian Perkhidmatan (UPP), Jabatan Ketua Menteri akan memantau secara berterusan prestasi kementerian, jabatan dan agensi dalam mencapai 316 KPI yang ditetapkan itu.

“Unit ini akan memantau dan memastikan setiap sasaran berjaya dicapai dan berupaya memberikan impak kepada kemajuan dan kemakmuran rakyat negeri ini.

“KPI juga memetakan fokus dan hala tuju semua kementerian, jabatan dan agensi termasuk pemimpin dalam kerajaan, pemegang taruh dan penjawat awam agar program yang dirancang memenuhi keperluan dan kehendak rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie menyarankan penjawat awam menggunakan sumber sedia ada dalam perkhidmatan awam dengan sepenuhnya bagi memastikan dasar yang digubal dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

“Kerajaan sudah meneliti strategi terbaik untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan kerajaan mesti mengambil langkah tegas dan berani untuk mengatasi cabaran ini pada tahun hadapan.

“Oleh itu, perkhidmatan awam memainkan peranan yang amat penting bagi memastikan dasar yang digubal dilaksanakan dengan cekap dan berkesan kerana apabila pelaksanaan dasar berjalan lancar, kita dapat menghadapi cabaran dan sekarang adalah masanya untuk melakukan reformasi melalui inisiatif ‘penjanaan semula’ perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk mengupayakan perkhidmatan awam dengan nilai dan budaya kerja berprestasi tinggi, berintegriti, proaktif dan strategik dalam menggerakkan inisiatif kerajaan.

Katanya, reformasi perkhidmatan awam adalah harapan baharu untuk bergerak seiring dengan keperluan semasa.

“Kemajuan teknologi dan dunia digital perlu difahami, diaplikasi dan dilaksanakan bagi memenuhi aspirasi dan keperluan rakyat.

“Pada masa yang sama, kita mahukan perkhidmatan awam satu organisasi yang bijak menggunakan hanya apa yang perlu untuk mengelakkan ketirisan dan mampu bekerja dengan cekap dan berkesan.

“Kita perlukan reformasi minda dengan menerapkan jiwa bertanggungjawab kepada semua penjawat awam agar mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan berada di tahap yang sangat membanggakan,” katanya.

244 dibaca
Berita Harian X