Selasa, 4 Disember 2018 | 1:54pm
GAMBAR fail, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man. - Foto Azhar Ramli

Rakyat Perlis culas bayar cukai - MB

KANGAR: Rakyat Perlis didapati tidak berdisiplin dalam membayar cukai yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga berlaku tunggakan Cukai Taksiran berjumlah RM16.75 juta pada tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sudah mengambil pelbagai inisiatif bagi menangani masalah berkenaan termasuk memberi diskaun, namun ia masih gagal mendapat sambutan orang ramai.

Katanya, beliau sendiri secara peribadi kesal dengan sikap rakyat Perlis yang tidak berdisiplin dalam bab cukai sehingga menyebabkan perkara itu ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017.

“Kita sudah memperkenalkan banyak cara agar rakyat komited dalam membayar cukai PBT seperti cukai pintu dan cukai tanah yang menjadi antara sumber kepada kerajaan negeri.

“MPK sendiri memberi diskaun cukai sekiranya rakyat komited membayar cukai awal selain turut mewujudkan kaunter luar pejabat di majlis tertentu bagi memudahkan mereka.

“Namun apa yang dapat dilihat, mereka masih tidak berdisiplin dalam membayar cukai sehingga Perlis ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara agar menguatkuasakan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171),” katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dikeluarkan semalam, menegur PBT di Perlis agar proaktif melaksanakan pungutan tunggakan cukai taksiran memandangkan jumlah kutipannya mencatatkan penurunan pada tahun lalu.

Azlan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan faktor rakyat kurang berkemampuan menyebabkan berlakunya masalah berkenaan.

“Saya sedia maklum laporan berkaitan dan menyambut baik teguran yang dibuat termasuk sedia memberi kerjasama demi kebaikan rakyat dan negeri ini.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita komited untuk terus memastikan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan agar rakyat merasai kemakmuran berterusan,” katanya.

226 dibaca
Berita Harian X