Khamis, 29 November 2018 | 6:35pm
SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan menyempurnakan majlis perasmian logo baharu JCorp sempena Majlis Sambutan Gala 50 tahun JCorp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada Johor), Johor Bahru. - Ihsan Royal Press Office

Pelantikan CEO perlu bebas cengkaman politik - Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah kuasanya melantik Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah dalam Johor Corporation (JCorp) bukan bermaksud untuk mencampuri urusan pentadbiran.

Sultan Ibrahim bertitah, sebagai Raja, baginda bertanggungjawab memastikan perbadanan itu berjalan mengikut landasan yang betul.

“Sebagaimana termaktub di bawah Enakmen 4 Tahun 1968, kuasa melantik Pegawai Eksekutif dan beberapa Ahli Lembaga Pengarah JCorp adalah hak Raja, ini bukan bermakna Raja mencampuri urusan pentadbiran.

“Tetapi ia untuk memastikan adanya ‘check and balance’ (semak dan imbang) dalam perbadanan terbabit (JCorp). Tambahan pula, oleh kerana jawatan Pengerusi JCorp sudah ditetapkan untuk Menteri Besar, maka pelantikan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) mestilah bebas daripada cengkaman politik yang akan hanya menurut kata Menteri Besar,” titah baginda.

Sultan Ibrahim menyampaikan titah sempena sambutan Majlis Sambutan Gala 50 Tahun JCorp di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada Johor), di sini, hari ini.

Turut berangkat, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian serta Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Sultan Ibrahim bertitah, beberapa syarikat kerajaan di peringkat persekutuan yang mana pelantikan Ketua Eksekutif dibuat atas dasar politik, CEO terpaksa mengikut telunjuk dan bertindak demi kepentingan politik.

“Lihatlah apa yang berlaku dalam beberapa syarikat kerajaan di peringkat persekutuan yang mana pelantikan Ketua Eksekutif dibuat atas dasar politik, maka CEO terbabit terpaksa mengikut telunjuk bertindak demi kepentingan politik sehingga membelakangkan kepentingan kerajaan dan rakyat, seperti kata pepatah `ibarat lembu dicucuk hidung’.

“Saya hanya bertindak sebagai pemerhati dan tidak akan mencampuri urusan pentadbiran JCorp yang dipengerusikan oleh Menteri Besar. Namun, sekiranya CEO dan Ahli Lembaga Pengarah yang saya lantik gagal menjalankan tugas, saya akan berbincang dengan Menteri Besar untuk menggantikan dengan orang lain,” titah baginda.

676 dibaca
Berita Harian X