Khamis, 29 November 2018 | 2:27pm
AMINUDDIN (dua dari kiri) beramah mesra bersama pelajar cemerlang UPSR ketika di majlis Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah 2018 di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar 2, Senawang. - NSTP/Adzlan Sidek

Hanya perjumpaan biasa - Aminuddin

SEREMBAN: Menteri Besar, Aminuddin Harun menjelaskan, perjumpaan beliau dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pagi ini, hanya pertemuan biasa.

“Tiada apa-apa (perkara) spesifik yang dibincangkan. Hanya perjumpaan biasa bagi membincangkan isu semasa sebelum mesyuarat EXCO kerajaan negeri diadakan.

“Memang kebiasaannya sebelum mesyuarat EXCO dibuat, saya akan mengadap Tuanku. Kebetulan mesyuarat yang sepatutnya diadakan semalam, ditangguhkan hari ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah 2018 di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar 2, Senawang, di sini, hari ini.

Pertemuan Aminuddin dan Tuanku Muhriz menimbulkan spekulasi mengenai kemungkinan pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu mengemukakan senarai nama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Aminuddin berkata, mesyuarat EXCO yang sepatutnya diadakan semalam terpaksa ditangguhkan pada hari ini kerana beliau mempunyai temujanji dengan doktor yang merawatnya di Hospital Serdang, Selangor.

Aminuddin selamat menjalani pembedahan jantung di Hospital Serdang, pada 26 Oktober lalu.

Berita Harian X