Rabu, 28 November 2018 | 5:51pm
AHMAD Samsuri Mokhtar. - Foto BERNAMA

Kerajaan Pusat teruskan projek tertangguh di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pusat bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan lapan projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Terengganu dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM577 juta, mulai tahun depan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata maklumat mengenai kelulusan baru sahaja diterima kerajaan negeri selepas semua projek terbabit ditangguhkan pelaksanaannya oleh Kementerian Kewangan sebelum ini.

“Projek ini membabitkan pelaksanaan yang pertamanya Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kemasik dengan anggaran RM60 juta; RTB Guntung Luar, Setiu (RM5 juta); RTB Gong Kiat, Kuala Terengganu (RM7 juta); RTB Kuala Terengganu Utara, UMT (Universiti Malaysia Terengganu) dan kawasan sekitarnya (RM10 juta).

“Projek lain adalah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kemaman (RM300 juta); Projek Muara Sungai Setiu (RM150 juta); Projek Muara Sungai Merchang (RM43 juta) dan Projek Naik Taraf Pintu Air Taman Rakyat, Dungun (RM1.5 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, beliau turut dimaklumkan mengenai status beberapa projek yang sudah diluluskan di bawah ‘Rolling Plan’ ketiga (RP3) dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11), akan diteruskan.

“Projek ini membabitkan projek menaik taraf/menggantikan jambatan sedia ada di FT003/448/60 Dungun selain projek jalan raya Simpang Pulai–Lojing–Gua Musang-Kuala Berang, pakej 8 turut akan diteruskan dengan tender terbuka pada 2019.

“Kerajaan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan di bawah kepemimpinan Tun Dr Mahathir (Mohamad) di atas persetujuan ini, sekali gus membuktikan langkah kita mengamalkan budaya politik matang dan berhubungan baik dengan kerajaan Persekutuan membuahkan hasil yang menguntungkan rakyat,” katanya.

Berita Harian X