Selasa, 27 November 2018 | 5:12pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Bina velodrom untuk SUKMA 20, elak basikal lajak

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan membelanjakan RM57 juta untuk membina sebuah velodrom akhir tahun ini sebagai persediaan tuan rumah Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA 2020) dan membanteras gejala basikal lajak yang masih berleluasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang, berkata selain membina velodrom untuk SUKMA, kerajaan berharap ia dapat menyelesaikan masalah basikal lajak di negeri ini khususnya membabitkan remaja.

Katanya, sebagai kerajaan yang prihatin dengan pembangunan rakyat terutama kanak-kanak dan belia, pihaknya memandang berat masalah basikal lajak yang berleluasa sejak lebih 10 tahun lalu.

“Lebih mendukacitakan, aktiviti berbahaya itu meragut lapan nyawa dalam kemalangan berhampiran Kampung Mahmoodiah, tahun lalu dan malangnya, aktiviti basikal lajak masih berleluasa.

“Berikutan itu, sempena penganjuran SUKMA 20 dua tahun lagi yang mana kita perlu membina sebuah velodrom, kita juga berharap kemudahan itu akan menarik minat pelumba basikal lajak beralih ke aktiviti lebih berfaedah.

“Mungkin ada di antara mereka berbakat besar dan layak mewakili negeri,” katanya kepada NSTP.

Beliau merujuk kemalangan jalan raya yang meragut lapan nyawa apabila basikal lajak ditunggang remaja berkenaan dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam, jam 3.30 pagi, pada 18 Februari 2017.

Ketika kejadian, sekumpulan 16 penunggang basikal berusia antara lapan hingga 16 tahun dipercayai berlumba dari simpang bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah menuruni jalan berbukit menuju ke Dataran Bandaraya di sini, sebelum tiba-tiba dirempuh kereta dari belakang.

Mazlan berkata, kerajaan negeri juga akan membina Pusat Skuasy bernilai RM5 juta, membina sebuah pusat air sukan kanu bernilai RM5 juta serta menaik taraf pusat menembak bernilai RM5 juta.

“Kerajaan negeri juga akan menaik taraf Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kos berjumlah RM39.8 juta bersempena SUKMA 20 dalam usaha melahirkan atlit bertaraf dunia seperti negara jiran.

“Pada masa sama, kami akan menaik taraf Stadium Hoki sedia ada di Taman Daya dengan kos RM4 juta dan menaik taraf Dewan Bola Keranjang di Larkin dengan kos RM5 juta.

“Kerajaan negeri akan membina Stadium Tertutup di belakang Stadium Larkin dengan kos RM78.9 juta dan sebuah Stadium Olahraga di Taman Maju Jaya dengan kos RM2 juta,” katanya.

Beliau berkata, selain menyediakan pelbagai kemudahan menepati piawaian antarabangsa, kerajaan negeri akan membelanjakan RM68.8 juta untuk menaik taraf pelbagai infrastruktur serta penyusunan semula aliran trafik bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

110 dibaca
Berita Harian X