Ahad, 25 November 2018 | 9:56am
Persembahan marathon muzik paling lama tanpa henti selama 48 jam oleh pemuzik negeri ini diikhtiraf Malaysia Book Of Records (MBOF) di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Marathon muzik 48 jam catat rekod MBOR

KOTA BHARU: Persembahan hiburan paling lama tanpa henti iaitu selama 48 jam oleh pemuzik dari negeri ini mencatat rekod baharu, sekali gus diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Hiburan melalui nyanyian, tarian serta persembahan instrumen muzik itu dipersembahkan pelajar Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Seri Kerian, Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Chengal.


Penasihat Kelab Muzik, Dr Garry Kuan Pei Ern (empat kiri, baju kot) bersama dengan Dekan Pusat Pengajian Saints Pergigian, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Adam Husein (tiga kiri) menunjukkan Sijil Malaysia Book Of Records (MBOR) selepas persembahan marathon muzik paling lama tanpa henti oleh pemuzik negeri ini di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Turut menyertai mereka ialah Pertubuhan Jalinan Anak Seni Teater, Tari dan Sastera Kelantan (JASTERA) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Kelantan.

Marathon muzikal anjuran Kelab Muzik USM yang disertai kira-kira 500 peserta itu bermula pada malam Selasa lalu dan berakhir malam tadi di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian.

Pengarah Projek, Loe Pei Yu, berkata matlamat utama penganjuran kali pertama itu adalah untuk mencatat rekod baharu mengatasi rekod pada 2012 yang pernah dicatat oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu selama 39 jam.

“Di samping itu ia juga sebagai pentas untuk mempromosikan persembahan dan muzik di negara ini kepada penonton asing selain meningkatkan keyakinan diri terutama dalam kalangan peserta kurang upaya,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata, peserta diberikan peluang memilih sendiri jenis acara yang ingin dipersembahkan asalkan setiap persembahan itu berterusan dan dilakukan secara bergilir selang kira-kira seminit bagi memenuhi syarat (tanpa henti).

Sijil pengiktirafan disampaikan oleh Pembantu Penyelidik MBOR, Nurul Syahirah Mohd Yusof, kepada Penasihat Kelab Muzik, Dr Garry Kuan Pei Ern.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Adam Husein, yang menyempurnakan perasmian penutup, berkata penganjuran program itu ia bukan saja melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik, malah dalam kegiatan kokurikulum.

“Saya difahamkan bahawa Kelab Muzik di sini sudah kerap mengadakan konsert amal bermula 2014 dan saya melihat ia boleh dikembangkan secara meluas dengan penyertaan dari negara asing.

“Dengan cara ini, bukan saja dapat mengembangkan bakat dalam diri masing-masing tetapi juga memperkenalkan muzik tempatan kepada dunia,” katanya.

365 dibaca
Berita Harian X