Sabtu, 24 November 2018 | 8:41pm
SULTAN Ibrahim Iskandar diiringi Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, memotong kek sambil diperhatikan Osman Sapian (empat dari kiri) pada Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena Hari Keputeraan baginda di Stadium Hoki Bandar Penggaram, Batu Pahat. - ihsan Royal Press Office

Sultan Johor berangkat ke Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat

BATU PAHAT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena Hari Keputeraan baginda, di Stadium Hoki Bandar Penggaram, di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim diiringi Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, tiba tepat jam 3 petang.

Yang turut berangkat, anakanda baginda, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun Aminah bersama suami, Dennis Muhammad Abdullah; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan EXCO Johor.

Pada majlis itu, Sultan Ibrahim berkenan melihat 26 kek yang dipersembahkan sempena Hari Keputeraan baginda sebelum diagihkan kepada kira-kira 10,000 rakyat yang hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Sultan Johor turut berkenan melancarkan tiga buku iaitu Sultan Ibrahim of Johor: Road To Royal Coronation, JDT An Abode of Dignity dan Almarhum Sultan Ismail Johor 1894-1981.

Tiga artis terkenal tanahair, Amy Search, Syamel dan Ernie Zakri turut menghiburkan tetamu diraja dan kira-kira 10,000 tetamu yang hadir ke majlis berkenaan.

Berita Harian X