Sabtu, 24 November 2018 | 6:18pm
ANTARA kawasan yang terjejas akibat banjir di daerah Hulu Langat selepas hujan lebat awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba
ANTARA kawasan yang terjejas akibat banjir di daerah Hulu Langat selepas hujan lebat awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Tiga kampung dilanda banjir kilat

KUALA LUMPUR: Tiga kampung di daerah Hulu Langat terjejas akibat banjir selepas paras air berpunca daripada limpahan Sungai Beranang dan aliran air hujan dari Negeri Sembilan mencecah melebihi satu meter berikutan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang, berkata tiga kampung yang terbabit adalah Kampung Sesapan Batu Rembau, Kampung Sesapan Minangkabau dan Kampung Paya Tanjung.

“Di Kampung Sesapan Minangkabau, banjir membabitkan sebanyak 16 buah rumah dan 36 keluarga dengan jumlah keseluruhan mangsa adalah seramai 46 orang.

“Manakala di Kampung Sesapan Batu Rembau dan Kampung Paya Tanjung, sebanyak 25 rumah terjejas dan mangsa sudah pun dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Balai Raya Kampung Sesapan Batu Rembau, bagaimanapun jumlah sebenar mangsa masih belum diperolehi.

“Anggota bomba dikerah ke lokasi bagi membantu sebarang usaha pemindahan mangsa banjir dan pemantauan berterusan keadaan banjir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita Harian X