Khamis, 22 November 2018 | 12:01am
DATUK Osman Sapian - Foto BERNAMA

MB Johor dahului 62 penerima darjah kebesaran Johor

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, mendahului senarai 62 penerima pingat dan darjah kebesaran sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Osman bersama Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani menerima Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata seramai lima individu diperkenan menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang turut membawa gelaran datuk.

Katanya, penerima DMIJ ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Amran A Rahim dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Adib Azhari Daud.

Beliau berkata, turut menerima DMIJ ialah Pengarah Tanah dan Galian Johor, Halim Hasbullah; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Ramlee A Rahman serta Pegawai Pengiring (ADC) Sultan Johor, Senior Asisten Komisioner R Sugumaran.

“Seramai 26 individu diperkenan menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim (SIJ) dan 29 penerima Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II),” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor yang sepatutnya diadakan pada 23 Mac lalu, diadakan hari ini dengan empat majlis rasmi iaitu Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Mengadap Takzim serta Majlis Darjah dan Pingat, di Istana Besar, dekat sini.

Sambutan rasmi Hari Keputeraan Sultan Johor pada Mac lalu ditangguhkan atas sebab Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kegeringan bonda Sultan Johor, Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Selain itu Majlis Jamuan Teh bersama rakyat yang dianggarkan dihadiri lebih 5,000 rakyat akan diadakan di Stadium Hoki Bandar Penggaram, Batu Pahat, Sabtu ini.

Sultan Johor berkenan istiadat sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi baginda yang ke-60 yang ditunda itu diadakan tetapi tiada sambutan di peringkat daerah dan tidak diisytiharkan cuti umum, selain diadakan secara sederhana.

Berita Harian X