Rabu, 21 November 2018 | 1:45pm
ABDUL Rahim menunjukkan buku JDT Johor Darul Ta'zim, An Abode of Dignity karya Abdul Rahim Ramli ketika sidang media di Johor Bahru. - NSTP/Junita Mat Rasid

Sambutan Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor esok

JOHOR BAHRU: Sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang sepatutnya diadakan pada 23 Mac lalu, akan berlangsung esok.

Majlis rasmi, iaitu Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Mengadap Takzim serta Majlis Darjah dan Pingat, akan diadakan di Istana Besar, dekat sini, sempena sambutan berkenaan.

Selain itu, Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat yang dijangka dihadiri lebih 5,000 orang akan berlangsung di Stadium Hoki Bandar Penggaram, Batu Pahat, Sabtu ini.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata sambutan rasmi Hari Keputeraan Sultan Johor pada Mac lalu ditangguhkan atas sebab Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan kegeringan bonda Sultan Johor, Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.

Beliau berkata, Sultan Johor berkenan istiadat sambutan ulang tahun Hari Keputeraan rasmi ke-60 baginda yang ditunda itu diadakan esok, namun tiada sambutan pada peringkat daerah dan hari berkenaan juga tidak diisytiharkan cuti umum.

“Sambutan ini diadakan secara sederhana dengan majlis rasmi di Istana Besar bermula pagi esok.

“Rakyat juga tidak ditinggalkan dengan mengadakan Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat, Sabtu ini, di Stadium Hoki Bandar Penggaram. Orang ramai dipersilakan hadir,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, seramai 62 orang akan menerima kurniaan darjah dan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Johor, termasuk dua penerima Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Beliau berkata, lima menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang turut membawa gelaran Datuk.

Katanya, 26 menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim (SIJ), serta 29 menerima Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II).

Abdul Rahim berkata, sempena Majlis Jamuan Teh, Sultan Ibrahim juga berkenan melancarkan empat buku berkaitan Johor.

Buku berkenaan ialah Syair DYMM Sultan Ibrahim oleh Dr Maskiah Masrom; Sultan Ibrahim of Johor, Road to a Royal Coronation oleh Robert Lim Fung Wang; Almarhum Sultan Ismail Johor 1894-1981 oleh Ahmad Fadhli Syed Hassan; dan JDT Johor Darul Ta’zim, An Abode of Dignity karya Abdul Rahim sendiri.

Berita Harian X