Selasa, 20 November 2018 | 1:16pm
TENGKU Abdullah menyampaikan ucapanya pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang, di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Tengku Abdullah bimbang cubaan ubah sosio politik

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, bimbang dengan tindakan segelintir pihak yang mahu mengubah landskap sosial politik negara melalui dasar kesaksamaan Barat.

Baginda bertitah, konsep acuan Barat itu cuba dibawa pihak tidak bertanggungjawab tanpa mengambil kira keunikan, kepelbagaian, kesucian agama Islam, sensitiviti rakyat dan kedaulatan Raja-Raja Melayu di negara ini.

“Hari ini ada rakyat mahu mengubah landskap sosial politik (negara) yang unik ini melalui penerimaan dasar kesaksamaan fahaman barat.

“Dasar ini dirangka orang asing yang tidak mengambil kira keunikan dan kepelbagaian masyarakat di negara ini,” titahnya sempena majlis perasmian sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Pahang, di Masjid Negeri, Masjid Sultan Ahmad 1, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah. Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.


TENGKU Abdullah (tengah) beramah mesra bersama penerima anugerah Maulidur Rasul pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang, di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Tengku Abdullah turut menggesa semua rakyat mengelakkan pertelingkahan dan sentiasa menghormati serta menyantuni antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan agama atau bangsa.

Titahnya, ini kerana Malaysia dibina atas persetujuan, persefahaman dan dasar kompromi sosio politik unik yang diperkenan Raja-Raja Melayu bagi membentuk Malaysia yang merdeka.

“Perkara ini dinyatakan jelas dalam pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan dasar kompromi ini dipersetujui semua kaum yang mana menjadi tunjang utama kepada perpaduan dan keharmonian negara,” titahnya.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah turut mengingatkan pemimpin mencontohi keperibadian dan corak pemerintahan Nabi Muhammad SAW dalam pentadbiran masa kini yang sentiasa menyantuni ummah tanpa mengira bangsa dan darjat.

“Saya yakin jika pemimpin masa kini mencontohi keperibadian baginda Rasulullah nescaya negara akan terus makmur dan Islam akan sentiasa terpelihara,” titahnya.

Terdahulu perarakan selawat ke atas Rasulullah bermula pada jam 7.30 pagi di perkarangan masjid disertai kira-kira 1,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Tengku Abdullah juga menyampaikan Anugerah Maulidur Rasul kepada lima individu iaitu bekas imam Masjid Lepar Hilir 1, Ismail Mehat dan Yang Dipertua Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia, Datuk Osman Nok.

Turut menerima anugerah, bekas Pengetua Sekolah Menengah Agama, Padang Tengku, Lipis, Abu Samah Abd Rani, Presiden Senat Parlimen Malaysia Kuala Lumpur, Tan Sri Adam Kadir dan kakitangan kerajaan negeri, Faizul Raman Samah.

1911 dibaca
Berita Harian X