Selasa, 20 November 2018 | 12:16pm
TUN Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib bersama-sama peserta berarak menuju ke Masjid Negeri Sabah sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 2018. - NSTP/Khairull Azry Bidin
ANTARA peserta yang menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 2018 menuju ke Masjid Negeri Sabah. - NSTP/Khairull Azry Bidin

10,000 berarak sempena sambutan Maulidur Rasul di Sabah

KOTA KINABALU: Kira-kira 10,000 umat Islam berarak sejauh 1.4 kilometer sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, di sini, hari ini.

Perarakan yang bermula dari Sutera Avenue dan berakhir di pekarangan Masjid Negeri Sabah, itu turut disertai Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Turut menyertai perarakan, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri Datin Seri Shuryani Shuaib dan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Aidi Mokhtar serta barisan menteri Kabinet negeri.

Sebanyak 79 kontinjen mewakili jabatan dan agensi kerajaan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar menyertai perarakan berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie mengingatkan umat Islam agar menolak nilai ekstremis dalam kehidupan seharian.


ANTARA peserta yang menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 2018 menuju ke Masjid Negeri Sabah. - NSTP/Khairull Azry Bidin

ANTARA peserta yang menyertai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 2018 menuju ke Masjid Negeri Sabah. - NSTP/Khairull Azry Bidin

“Kita sedar dan tahu ekstremis boleh menolak perpaduan dan akan menghakis usaha kita untuk menyatupadukan ummah.

“Umat Islam juga jangan terlalu bersifat perkauman dan kalau sifat itu menjadi amalan kita, saya yakin perpaduan umat tidak akan berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie mahu syiar Islam tidak dicemarkan dengan sifat pelampau umat Islam dan harus berpegang pada ajaran al-Quran dan hadis.

“Penting bagi kita untuk memperingatkan diri agar sentiasa mempunyai sifat kesederhanaan yang dipaparkan Rasulullah SAW.

“Tuntutan limpahan pembangunan fizikal dan ekonomi negeri termasuk keselamatan serta kesejahteraan rakyat dengan menarik pelabur asing untuk menjalankan perniagaan di sini akan dapat dinikmati sekiranya kita mampu memupuk perpaduan, tiada sifat ekstremis atau radikal dan perkauman dalam kalangan umat Islam,” katanya.

276 dibaca
Berita Harian X