Sabtu, 17 November 2018 | 5:51pm
AHMAD Shah (berkopiah) dan Dr Mohd (dua dari kiri), Samiun (kiri) melihat jentik-jentik yang ditemui dalam longkang pada majlis gotong royong perdana peringkat negeri di Kampung Seberang Baruh, di Kuala Terengganu, hari ini. - NSTP/Baharom Bakar

Kes denggi meningkat di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kes denggi di negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak 57.9 peratus atau 158 kes membabitkan tiga kematian bermula Januari hingga 14 November lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Terengganu (JKNT), Dr Mohd Jusoh, berkata secara keseluruhannya, jumlah mereka yang diserang denggi di seluruh negeri ini adalah sebanyak 431 kes berbanding hanya 273 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, Kuala Terengganu mencatatkan kes denggi tertinggi iaitu sebanyak 178 kes diikuti Besut (118), Dungun (35), Marang (30), Kemaman (28), Kuala Nerus (19), Hulu Terengganu (13) dan 10 kes di daerah Setiu.

“Tiga kematian berlaku disebabkan demam denggi berdarah adalah masing-masing dua kes di daerah Besut dan satu di Dungun,” katanya ketika ditemui pada majlis gotong royong perdana peringkat negeri di Kampung Seberang Baruh, di sini, hari ini.

Majlis pelancaran gotong-royong perdana peringkat negeri dirasmikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Mohamed.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh.

Dalam pada itu, Dr Mohd berkata, sehingga akhir bulan lalu, JKNT melakukan pemeriksaan sebanyak 167,495 premis terutamanya rumah kediaman dan 2,316 atau 1.4 peratus didapati positif tempat pembiakan aedes.

Katanya, seramai 1,281 pemilik premis dikenakan tindakan kompaun mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

“Nilaian kompaun yang dibayar 599 pemilik premis berjumlah RM100,520 manakala sebanyak 772 notis amaran pembersihan mengikut Seksyen 8, akta yang sama dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, punca utama menyebabkan berlakunya peningkatan kes denggi di negeri ini adalah kecuaian pemilik premis terutamanya pemilik rumah kediaman gagal melakukan pembersihan dalam dan di luar rumah.

169 dibaca
Berita Harian X