Jumaat, 16 November 2018 | 6:22pm
ZULKARNAIN (tengah) mengetuai perarakan sambil berselawat di Kampung Sri Keledang. - NSTP/Rosman Shamsudin

Berjalan 3km sambil berselawat

SLIM RIVER: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, di sini, hari ini berjalan sejauh tiga kilometer mengelilingi kampung sambil berselawat sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah berkenaan.

Bacaan selawat itu diketuai oleh Guru Agama Islam, Ustaz Zulkarnain Abdullah Zawawi, 32, sambil diiringi murid, guru dan kakitangan sekolah.

Uniknya pada program berkenaan, kesemua murid membawa sepanduk yang mereka tulis sendiri berdasarkan kreativiti mengikut rumah sukan ketika perarakan dijalankan.

Zulkarnain yang juga penyelaras program berkata, sejak awal pagi murid dengan berpakaian baju Melayu bersemangat berkobar-kobar untuk berarak sambil berselawat mengelilingi Kampung Sri Keledang.

Katanya, walaupun murid sekolah berkenaan hanya seramai 92 orang, sambutan setiap tahun itu tetap meriah dengan pelbagai telatah murid dapat disaksikan sepanjang perarakan.

“Program ini dianjurkan bagi menyemai semangat cintakan Rasulullah dan mencontohi akhlak serta semangat juang Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan syiar Islam.

“Semangat ini harus dipupuk di peringkat sekolah rendah supaya dapat melahirkan generasi yang bukan sekadar mempunyai ilmu di dunia tetapi juga di akhirat,” katanya ketika ditemui di sini.

Selain berselawat keliling kampung, murid berkenaan juga mendengar ceramah agama dan menyertai pertandingan kuiz serta sepanduk antara rumah sukan.

242 dibaca
Berita Harian X