Jumaat, 9 November 2018 | 6:53pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menunjukkan buku Ucapan Bajet 2019 Negeri Sabah sebelum bermulanya sesi pembentangan. - Foto Edmund Samunting

Sabah bentang belanjawan lebihan

KOTA KINABALU: Kerajaan baharu pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) hari ini membentangkan Belanjawan Sabah bagi tahun 2019 berjumlah RM4.16 bilion.

Belanjawan pertama sejak mengambil alih kerajaan negeri pada Mei lalu itu mencatat lebihan RM105.32 juta berbanding anggaran kutipan hasil RM4.27 bilion pada tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika membentangkannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah petang ini, berkata lebihan itu membabitkan peningkatan RM40.43 juta atau 62.31 peratus berbanding tahun 2018 dan yang tertinggi sejak lima tahun lalu.

“Ini bermakna kerajaan merangka belanjawan berkedudukan lebihan atau ‘Surplus Budget’ membabitkan jumlah sebanyak RM105.32 juta, yang mana ini penting dalam mengekalkan kestabilan kewangan negeri,” katanya.

Belanjawan bertema ‘Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’ itu menunjukkan peningkatan RM55.33 juta atau 1.35 peratus berbanding belanjawan 2018 dibentangkan kerajaan negeri sebelum ini yang berjumlah RM4.1 bilion dengan lebihan berbanding hasil sebanyak RM64.89 juta.

Mohd Shafie berkata, anggaran belanjawan tahun depan merangkumi perbelanjaan emolumen sebanyak RM742.14 juta, perbelanjaan berulang (RM1.37 bilion) dan perbelanjaan khas sebanyak RM2.045 bilion.

Bagi perbelanjaan pembangunan, beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, sebanyak RM934.68 juta diperuntukkan pada tahun depan membabitkan RM695.39 juta daripada kerajaan negeri, manakala RM239.28 juta daripada kerajaan Pusat.

Anggaran hasil Sabah pada tahun depan, katanya, disasar meningkat 2.3 peratus berbanding anggaran RM4.17 bilion pada tahun ini dengan penyumbang tertinggi daripada sektor bukan cukai RM2.74 bilion atau 64.1 peratus.

Katanya, royalti petroleum dijangka kekal menjadi penyumbang tertinggi dengan sumbangannya merangkumi 37.5 peratus daripada jumlah keseluruhan anggaran hasil tahun 2019 dengan sasaran RM1.6 bilion disusuli cukai jualan minyak kelapa sawit (CPO) sebanyak RM900 juta.

Beliau berkata, mulai tahun depan kerajaan negeri juga akan mula mengenakan cukai jualan lima peratus produk perikanan yang dibawa keluar dari Sabah dengan anggaran kutipan RM20 juta.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri turut menyasarkan peningkatan kutipan hasil RM330.2 juta daripada Jabatan Air pada tahun depan berdasarkan keupayaannya meningkatkan kutipan kepada RM66.8 juta antara Ogos hingga Oktober tahun ini, selepas penstrukturan semula jabatan berkenaan.

Pada sidang media kemudian, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga akan melihat langkah Sarawak mengenakan cukai jualan produk petroleum sebanyak lima peratus sebagai langkah untuk meningkatkan hasil negeri.

1271 dibaca
Berita Harian X