Jumaat, 9 November 2018 | 6:42pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membentangkan Belanjawan Negeri 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Bayaran khas RM500 kepada penjawat awam Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini mengumumkan bayaran khas RM500 kepada semua penjawat awam negeri yang akan dibuat serentak dalam pembayaran gaji bulan Disember depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2019, berkata ia sebagai penghargaan kepada anggota perkhidmatan awam negeri dalam membantu kerajaan mentadbir, mengurus dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Selaras dengan pengumuman kerajaan persekutuan, kerajaan Sabah juga bersetuju memberi pembayaran khas RM500 kepada semua penjawat awam negeri,” katanya.

Selain itu, Mohd Shafie turut mengumumkan penyediaan biasiswa sebanyak RM9.56 juta bagi menggalakkan penjawat awam negeri melanjutkan pelajaran mengikuti kursus jangka pendek di pusat pengajian berprestij luar negara seperti Universiti Cambridge dan Universiti Oxford di England dan Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Bagi pembangunan modal insan, beliau juga mengumumkan tambahan pembiayaan biasiswa, dermasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi kepada RM52 juta berbanding RM37 juta tahun ini.

Katanya, Yayasan Sabah juga akan meneruskan bantuan kepada pelajar yang dimulakan pada tahun ini membabitkan pembiayaan RM10 juta yang akan ditambah berdasarkan kedudukan kewangan agensi itu.

Belanjawan pertama kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu turut menggariskan beberapa langkah yang memberi manfaat kepada rakyat luar bandar termasuk RM5 juta untuk membangunkan padi bukit bagi menambah baik kehidupan rakyat luar bandar seperti di Ranau, Tambunan, Keningau, Kota Belud, Sipitang, Pitas dan Kota Marudu sejajar permintaan baik beras bukit untuk tujuan kesihatan.

1341 dibaca
Berita Harian X