Jumaat, 9 November 2018 | 5:53pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad. - Foto Hairul Anuar Rahim

Johor akan manfaatkan kuarters kerajaan terbiar untuk rakyat

MUAR: Kerajaan Johor merancang untuk memanfaatkan kemudahan kuarters terbiar di negeri ini sebagai rumah sewa, rumah transit atau dijual demi kesejahteraan rakyat khususnya mereka yang berdepan masalah perumahan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata bagaimanapun kemudahan kuarters ini tertakluk kepada kementerian atau agensi kerajaan berkaitan termasuk isu berhubung pemilikan tanah sama ada ia boleh dimanfaatkan bagi tujuan berkenaan.

Katanya, ini kerana jika mengikut kebiasaannya pemilikan tanah di mana kuarters itu dibina sebelum ini diberikan kepada agensi kerajaan itu sendiri.

“Memang sekarang ini kerajaan negeri dalam usaha untuk menukar status kemudahan ini kepada status rumah sewaan atau jualan. Sekarang ini pun kita sedang usahakan bersama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melupuskan sebahagian daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Isunya, tanah PPR ini dahulunya milik Kerajaan Persekutuan dan kemudiannya diserahkan kepada Kerajaan Negeri apabila siap. Jadi, apabila kita nak jual, ia membabitkan status pemilikan rumah. Sekarang pun kita bekerjasama dengan KPKT dan secara prinsipnya sudah bersetuju untuk menjual sebahagian daripada unit PPR ini.

“Ia akan menjadi model pertama yang kita ubah dari konsep sewaan kepada menjadi unit untuk dijual. Cuma ia ada sedikit masalah teknikal kerana ia membabitkan hak milik strata dan kita akan bantu Kerajaan Persekutuan supaya inisiatif ini dapat dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dzulkefly berkata, pihaknya mengharapkan kaedah atau prinsip yang sama akan dapat dilaksanakan terhadap kuarters kerajaan atau milik agensi Kerajaan Persekutuan supaya ia dapat dimanfaatkan kepada rakyat khususnya di Johor.

“Bagaimanapun kuarters kerajaan ini kita nampak secara fizikalnya tidak terurus tetapi kadang kala mereka (agensi kerajaan) ini ada perancangan (pada kuarters) di masa hadapan untuk tujuan tertentu. Maknanya, kita (Kerajaan Negeri) kena duduk berbincang bersama agensi berkaitan bagi membincangkan mengenai masa hadapan kuarters mereka itu.

“Kuarters milik kerajaan agak mudahlah untuk diuruskan. Contohnya kuarters yang kita ada di Taman Saujana, Johor Bahru yang asalnya milik kerajaan dan ia dijual kepada mereka yang sebelum ini menyewa di rumah berkenaan.

“Usaha ini (memanfaatkan kuarters terbiar) ini memang kita akan buat, cuma tinggal lagi persetujuan daripada agensi Kerajaan Persekutuan berkaitan yang kita boleh digunakan atas pelbagai kegunaan seperti rumah sewa atau rumah transit yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Kita di pihak Kerajaan Negeri juga sangat menggalakkan supaya kuarters tidak terurus atau tidak digunakan supaya dimanfaatkan. Paling tidak pun untuk tujuan sewaan bagi tempoh tidak panjang kerana sekarang ini pun penawaran rumah sewa ini sangat berkurangan di Johor,” katanya.

Beliau berkata, permintaan terhadap rumah sewa ini disebabkan beberapa faktor terutama berkaitan kesukaran pihak bank untuk meluluskan pinjaman perumahan.

“Kita akan memanfaatkan kuarters terbiar atau tidak dimanfaatkan oleh agensi kerajaan tertentu ini untuk rakyat. Kalau kita biarkan kuarters ini kosong, ia akan menjadi sasaran vandalisme seperti penagih dadah dan sebagainya hingga menyebabkan kos penyelenggaraan kuarters ini menjadi lebih tinggi.

“Maknanya, lebih baik jangan ditinggalkan kuarters ini kosong begitu sahaja. Saya yakin dan percaya, mereka yang mencari rumah sewa ini biasanya hanya bekerja sementara dalam tempoh dua hingga tahun sahaja di sesuatu tempat atau mereka yang baharu mula bekerja dan berkahwin,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan mengenai beberapa kuarters kerajaan terbiar hingga meresahkan penduduk setempat kerana kemudahan itu kini menjadi lokasi tumpuan penagih dadah, pelajar ponteng sekolah dan juga pihak tidak bertanggungjawab melakukan perkara maksiat.

Laporan NSTP itu juga mendapat reaksi daripada rakyat yang mencadangkan kuarters kerajaan itu dijadikan sebagai rumah sewa, rumah transit, dijual kepada golongan berpendapatan rendah atau dimanfaatkan sebagai asrama atau rumah anak yatim kerana ia ada projek yang dilaksanakan dengan menggunakan dana awam.

921 dibaca
Berita Harian X