Jumaat, 9 November 2018 | 5:42pm
MENTERI Besar, Amirudin Shari hadir pada Majlis Penyerahan Notis 5A dan 4A Skim Mesra Warga Emas (SMUE) Fasa Dua dan Penyerahan Bantuan Masjid, Surau dan Sekolah Rendah Agama di Masjid Taman Padu Permai, Sungai Besar, hari ini. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin

Kerajaan negeri sedia bantu MDSB selesai defisit - MB Selangor

SUNGAI BESAR: Kerajaan Selangor sedia membantu Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang berdepan masalah defisit hasil pendapatan dengan melakukan pelbagai bantuan insentif.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, MDSB dan ahli majlis sebelum itu perlu membuat beberapa keputusan menambah sumber hasil selain meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Jika perbandaran (MDSB) masuk, akan ada caj dikenakan kepada penduduk dan ianya perlu dilakukan.

“Malah, mereka (penduduk) seharusnya bersedia dari sekarang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Notis 5A dan 4A Skim Mesra Warga Emas (SMUE) Fasa Dua dan Penyerahan Bantuan Masjid, Surau dan Sekolah Rendah Agama di Masjid Taman Padu Permai, di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai caj parkir yang mungkin dilaksanakan MDSB bermula tahun depan, Amirudin berkata, perkara itu perlu dilaksanakan seiring kemajuan daerah ini.

“Kalau mahu perkhidmatan lebih baik, MDSB tidak boleh dihalang daripada mengutip hasil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai pembinaan Lebuh Raya Pesisir Pantai Barat (WCE) yang dilihat bakal melonjakkan pembangunan ekonomi penduduk di beberapa kawasan sekitar terutama Sabak Bernam.

“Semua pihak sama ada penjawat awam atau penduduk setempat perlu melakukan perubahan sikap seiring dengan pemodenan.

“Saya yakin apabila projek itu siap, limpahan pembangunan akan berlaku di sekitar daerah ini,” katanya.

129 dibaca
Berita Harian X