Jumaat, 9 November 2018 | 4:49pm
KETUA Menteri, Chow Kon Yeow membentangkan Belanjawan 2019 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

Pulau Pinang bentang belanjawan defisit kali ke-11

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang sekali lagi membentangkan belanjawan defisit untuk tahun ke-11, membabitkan nilai sebanyak RM395.69 juta, berbanding RM748.5 juta pada tahun lalu.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang bermula hari ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, mencadangkan perbelanjaan itu dengan anggaran hasil RM505.5 juta.

Katanya, bagi tujuan mengurus berjumlah RM901.19 juta, termasuk pindahan RM230 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dengan nilai defisit dapat dikurangkan kepada RM165.69 juta jika pemindahan itu dikecualikan.

“Anggaran defisit Belanjawan 2019 negeri mencatatkan penurunan 47 peratus, iaitu RM352.8 juta, berbanding RM748.5 juta, tahun lalu. Ia kerana tiada kemudahan pinjaman kepada badan berkanun disediakan bagi menjamin dan memantapkan kedudukan kewangan semasa negeri.

“Kita mempunyai obligasi terhadap peningkatan pembayaran emolumen sebanyak 1.16 peratus, iaitu RM179.01 juta, berbanding RM176.96 juta (2018) ekoran kenaikan gaji tahunan, peningkatan perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan kepada RM172.13 juta.

“Perbelanjaan perolehan aset berkurang sebanyak 43.7 peratus, iaitu RM4.84 juta, manakala pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM540.97 juta), pemberian lain (RM100 juta), faedah, dividen dan kenaan bayaran hutang (RM5.07 juta).

“Pencen dan ganjaran pula bernilai RM15 juta, manakala tuntutan dan pampasan (RM10 juta) serta bayaran kepada badan berkanun, agensi atau persatuan negeri adalah sebanyak RM50 juta,” katanya.

Kon Yeow mengumumkan, anggaran pembangunan bernilai RM306.38 juta dengan jumlah itu mencatatkan penurunan sebanyak 55.27 peratus, berbanding RM684.97 juta pada 2018.

“Ia kerana tiada kemudahan pinjaman disediakan bagi badan berkanun negeri, selain ia tidak akan menjejaskan projek pembangunan secara langsung yang dirancang kerajaan negeri.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi impak positif kepada rakyat sentiasa diutamakan dan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Selain itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang turut mengumumkan bonus 0.5 bulan gaji dengan minimum RM1,000 membabitkan peruntukan sebanyak RM5.23 juta kepada 3,915 penjawat awam yang akan dibayar, bulan depan.

“Kerajaan negeri juga akan membayar RM300 seorang bagi 1,590 penyelia dan guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA), sekolah persendirian Cina (572).

“Jumlah sama akan diberikan kepada 270 guru sekolah agama rakyat, sekolah menengah agama rakyat (182), manakala RM200 seorang bagi 240 guru tahfiz, pondok dan tadika islam (TADIS) Pulau Pinang,” katanya.

304 dibaca
Berita Harian X