Jumaat, 9 November 2018 | 4:12pm
PENDUDUK Kampung Yah Umat, 65, meniti titian buluh yang dibina sebagai persiapan gelombang banjir kedua, di Kampung Terusan, Rantau Panjang. - NSTP/Sharifah Mahsinah Abdullah

Bina titian, rumah kecil hadapi gelombang kedua banjir

RANTAU PANJANG: Gelombang pertama banjir di Kelantan berakhir semalam tetapi penduduk tinggal di kawasan rendah di sini, mula mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi gelombang kedua.

Mangsa banjir dari beberapa kampung sepanjang Sungai Golok mengambil langkah berjaga-jaga dengan membina pondok dan titian kecil menghubungkan rumah mereka ke jalan raya.

Antara kampung yang penduduknya membina titian dari buluh dan pondok kayu kecil ialah Kampung Terusan dan Kampung Lanchang.

Seorang penduduk, Mohd Nawi Abdullah, 48, berkata dia membina titian kecil dengan bantuan anak lelakinya berusia 18 tahun semalam.

“Seperti biasa apabila banjir melanda, kampung kami akan ditenggelami air antara satu hingga tiga meter dan kadang-kadang jika banjir besar, air akan memasuki rumah kami.

“Pada masa itu amat sukar bagi kami untuk keluar ke pekan berdekatan bagi mendapatkan bekalan makanan. Oleh itu, kami membuat keputusan untuk membina titian atau jambatan kecil.

“Kami mula membinanya sejak lima tahun lalu setiap kali musim tengkujuh tiba. Saya dan anak saya akan ke semak berdekatan untuk mendapatkan batang buluh,” kata bapa kepada empat anak itu.

Pekerja kampung yang berusia 48 tahun itu berkata beliau dan anaknya mengambil masa sehari menyiapkan titian itu.

Seorang penduduk juga dari Kampung Terusan, Hairie Awang Senik, 28, berkata dia membina pondok kayu kecil bersambung dengan rumahnya sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi banjir terbaru.

“Pondok itu dibina sama paras dengan jalan raya dan rapat dengan rumah saya.

“Jika air banjir memasuki rumah kami, kami akan menggunakan pondok itu sebagai tempat perlindungan kami yang baharu dan berpindah ke pondok itu secepat mungkin kerana kami tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan banjir dan meninggalkan rumah kami,” kata Hairie.

412 dibaca
Berita Harian X