Jumaat, 9 November 2018 | 3:03pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan. - NSTP/Adzlan Sidek

Kerajaan NS batal ambil alih PPM, PHM

SEREMBAN: Kerajaan negeri membatalkan hasrat mengambil alih Pusat Perubatan Mawar (PPM) dan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) berikutan tawaran harga yang disifatkan tidak konsisten dan munasabah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata Menteri Besar Diperbadankan (MBI) mengadakan rundingan pengambilalihan apabila pusat itu berhadapan masalah untuk meneruskan operasi.

“Bagaimanapun beberapa isu timbul ketika proses rundingan MBI bersama pengurusan pusat berkenaan termasuk berkaitan penetapan harga yang tidak munasabah, sehingga memaksa MBI membatalkan usaha berkenaan,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Beliau mengulas gesaan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Nadi Rakyat Negeri Sembilan, supaya kerajaan negeri meneruskan hasrat pengambilalihan pusat perubatan itu demi kepentingan rakyat negeri ini.

Presidennya, Mohd Nazree Mohd Yunus, dilaporkan berkata usaha pengambilalihan itu juga dapat menjaga kebajikan pesakit dan petugas termasuk doktor di pusat perubatan berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu menyatakan dengan lebih jelas alasan pembatalan pengambilalihan itu supaya tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.

Bulan lalu, Menteri Besar, Aminuddin Harun dilaporkan berkata MBI akan mengambil alih PPM dan PHM sebagai sebuah hospital rakyat milik penuh kerajaan negeri, yang bukan bermatlamatkan keuntungan semata-mata, sebaliknya membantu masyarakat.

Kementerian Kesihatan bagaimanapun mengarahkan pemberhentian operasi dan pengguguran perkhidmatan PPM berikutan peletakan jawatan hampir semua pakar perubatan di pusat berkenaan berkuat kuasa 1 November lalu. Bagaimanapun, PHM masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Mengulas lanjut, Veerapan berkata, kerajaan negeri buat masa ini belum membuat keputusan sama ada untuk memulakan kembali rundingan atau tidak dengan pengurusan pusat perubatan berkenaan.

420 dibaca
Berita Harian X