Jumaat, 9 November 2018 | 12:01pm
SALMA (tengah) dalam himpunan bantahan beberapa projek kerajaan negeri di hadapan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. - NSTP/Danial Saad

Syor bina hotel di Bukit Bendera dibantah

GEORGETOWN: Penang Forum membantah cadangan kerajaan negeri membangunkan dua hotel di puncak Bukit Bendera di sini, bagi memenuhi keperluan pengunjung di kawasan peranginan itu, menjelang tahun depan.

Ahli Jawatankuasa Penang Forum, Khoo Salma, berkata ia berikutan bilangan pengunjung Bukit Bendera sudah mencapai tahap maksimum, sekali gus mewujudkan kebimbangan berlaku kejadian tidak diingini di situ.

Katanya, cadangan itu antara lain akan menjejaskan cadangan mewartakan Bukit Bendera sebagai tapak simpanan biosfera warisan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Kerajaan negeri perlu segera hantar permohonan kepada UNESCO kerana hanya selepas itu baru mereka sedar mengenai had pembangunan antarabangsa yang ditetapkan. Mereka perlu mengiktiraf standard ditetapkan di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan negeri juga perlu ingat punca kejatuhan bekas Ketua Menteri, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu, pada 1990. Ketika itu, rakyat tidak mengundi beliau kerana cadangan pembinaan hotel di Bukit Bendera.

“Tambahan, terdapat hampir 200 plot tanah runtuh yang berlaku di sekitar Bukit Bendera ekoran hujan luar biasa, pada November 2017. Ini adalah petunjuk jelas bahawa tiada keperluan membina hotel di situ,” katanya.

Terdahulu, Salma bersama hampir 30 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar membuat demonstrasi aman bagi membantah pelbagai projek pembangunan dirangka kerajaan negeri di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Sehingga kini, Penang Forum lantang membantah beberapa projek pembangunan di lereng bukit, pelbagai cadangan tambakan laut, Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dan Lebuhraya Pan Island Link I (PIL I) dirangka kerajaan negeri.

Salma berkata, pihaknya bersama beberapa NGO lain akan terus membantah sebarang projek yang akan menjejaskan keseimbangan alam sekitar, jika kerajaan negeri tetap mahu meneruskan pelbagai rancangan pembinaan kontroversi di Pulau Pinang.

“Kita juga mahu kerajaan negeri memperjelas jangkaan populasi rakyat di negeri ini akan meningkat kepada 2.45 juta individu, pada 2030 seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030 (RSNPP 2030).

“Ia berikutan jangkaan terbabit didapati bertentangan dengan angka dinyatakan Jabatan Perangkaan. Mereka (kerajaan negeri) menggunakan angka palsu untuk menjustifikasikan RSNPP 2030,” katanya.

Sementara itu, EXCO Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Pam Ooi turut membantah cadangan pembinaan dua hotel di puncak Bukit Bendera di sini, selain menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan negeri menjalankan projek itu.

“Pulau Pinang sudah mempunyai banyak hotel sedia ada dan saya percaya ia tidak mencapai kadar penghunian maksimum sehingga perkhidmatan ini perlu disediakan di Bukit Bendera.

“Adalah lebih baik jika mereka (kerajaan negeri) menaik taraf hotel sedia ada ini terlebih dahulu, berbanding menyediakan perkhidmatan sedemikian di Bukit Bendera,” katanya.

349 dibaca
Berita Harian X