Khamis, 8 November 2018 | 7:58pm
KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kempen #JomCintaNabi di Balai Berita Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Saddam Yusoff

Sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya

Oleh Latifah Arifin

latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 20 November ini mulai jam 9 pagi.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, berkata sesuai dengan konsep rahmatan lil alamin, tema yang diangkat ialah Menyantuni Umat Membawa Rahmat.

“Sesuai dengan konsep tema ini, kita akan lebarkannya dalam bentuk kesedaran sekali gus mengangkat bagaimana Rasulullah SAW melaksanakan dakwah,” katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Kempen #JomCintaNabi di Balai Berita, The New Straits Times Press (NSTP) di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kira-kira 5,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta akan menyertai sambutan berkenaan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong akan berangkat menyempurnakan majlis berkenaan dan menyampaikan anugerah.

Antara acara kemuncak termasuk anugerah kepada lima individu yang berjaya menyampaikan risalah Islam seperti tokoh ulama, tokoh al-Quran dan ahli korporat.

506 dibaca
Berita Harian X