Khamis, 8 November 2018 | 11:56am
BEBERAPA kawasan di daerah Selangor dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak petang semalam. - ihsan SSCC

3 daerah di Selangor dilanda banjir kilat

SHAH ALAM: Tiga daerah di negeri Selangor hari ini sekali lagi terjejas selepas dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak, awal pagi tadi.

Smart Selangor Command Centre (SSCC), dalam satu kenyataan, memaklumkan antara kawasan yang terjejas ialah di Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

“Di Kuala Selangor kawasan yang terjejas membabitkan Kampung Sawah di Tanjong Karang, manakala di Klang membabitkan kawasan di Kampung Bukit Kuda.

“Bagi Kuala Langat, dua kawasan yang terjejas antaranya Kampung Kebun Batu 9 dan juga Lorong Siantan Tambahan Kampung Sungai Buaya,” katanya.

Sebanyak satu pusat pemindahan sementara dibuka bagi menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir.

“Setakat jam 11 pagi ini, enam penduduk membabitkan sebuah keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Balai Raya Blok A Sawah Sempadan, Tanjung Karang.

“Pusat pemindahan sementara di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong yang dibuka sejak semalam bagaimanapun sudah ditutup.

“SSCC akan terus memantau dan membuat tindakan susulan kejadian yang berlaku serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, hari terakhir fenomena air pasang besar bagi tahun ini yang melanda beberapa kawasan di daerah Klang masih dalam keadaan terkawal.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani, berkata walaupun hujan lebat awal pagi, ia tidak menyebabkan air laut naik ke darat sehingga melepasi paras ban.

“Pada pagi tadi, pemantauan dibuat dari jam 5.30 pagi hingga 7.30 pagi dengan paras tertinggi direkodkan pada jam 6.11 pagi dengan ketinggian 5.4 meter dan keadaan semuanya terkawal.

“Pada petang ini, kira-kira jam 6 petang nanti, kita akan lakukan rondaan sekali lagi berikutan air dijangka mencecah setinggi 5.0 meter pada jam 6.35 petang nanti,” katanya ketika dihubungi.

Antara agensi yang terbabit memantau fenomena air pasang termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) dan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kekuatan 90 anggota pada hari ini.

Fenomena air pasang besar bagi tahun ini dijangka akan berakhir petang nanti dan difahamkan esok, paras air pasang akan mencecah 5.3 meter pada jam 6.44 pagi manakala ia dijangka setinggi 4.9 meter apabila air pasang sekali lagi pada jam 7.08 petang.

902 dibaca
Berita Harian X