Sabtu, 3 November 2018 | 1:26pm
MOHD Khuzzan (baju hitam) mencuba permainan terompah tempurung pada Program Semarak Seni Budaya Hari Sukan Tradisional di Sekolah Kebangsaan Seri Laksana, Parit Maimon, Parit Sulong. - Foto NSTP/Mohamed Farid Noh

Johor temui KBS bincang isu SUKMA

BATU PAHAT: Kerajaan Johor akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membincangkan isu penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar, berkata pertemuan itu penting bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan perincian mengenai penganjuran SUKMA 2020, terutama dari segi peruntukan.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian bagi mendapatkan pandangan dan peruntukan tambahan.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mengadakan perbincangan selain mendapatkan perincian lanjut mengenai penganjuran SUKMA 2020.

“Walaupun Belanjawan 2019 semalam tidak mengumumkan peruntukan untuk SUKMA 2020 Johor secara khusus, kita tetap yakin KBS ada penyelesaiannya,” katanya selepas merasmikan Program Semarak Seni Budaya Hari Sukan Tradisional di Sekolah Kebangsaan Seri Laksana, Parit Maimon, Parit Sulong,dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Sekretariat SUKMA 2020, Onn Jabar, Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkifee Abbas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Shafei Ahamad.

Ditanya sama ada kekangan dari segi peruntukan akan merencatkan persiapan SUKMA 2020 yang kini rancak dilakukan, Khuzzan berkata, persiapan SUKMA 2020 ketika ini berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Saya yakin isu berbangkit akan diselesaikan malah Jawatankuasa Induk sudah dilantik minggu lalu manakala pelbagai kemudahan utama rancak dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata, sukan tradisional peringkat daerah akan diadakan di daerah ini bermula tahun depan sebagai langkah memulihara sukan berkenaan agar tidak hilang ditelan zaman.

“Hari ini, kita adakan sukan tradisional seperti permainan tarik upih, sepak raga tuju, boling padang, terompah tempurung dan bola sepak sabut antara lima mukim di Parit Sulong sebagai persediaan sukan tradisional daerah,” katanya.

Berita Harian X