Jumaat, 2 November 2018 | 11:17am
Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim( berdiri belakang, empat dari kanan) bergambar bersama mahasiswa yang menjayakan Santai Seni Warisan yang menampilkan persembahan kebudayaan di Pekan River Front. - Foto ihsan UMP

1,000 pengunjung hadir program Santai Seni Warisan

PEKAN: Kira-kira 1,000 pengunjung menghadiri program Santai Seni Warisan sempena Ekspo Konvokesyen (Expoconvo) Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Pekan River Front di sini, malam tadi.

Program yang pertama kali diadakan di Pekan River Front itu menggabungkan pelbagai acara termasuk permainan tradisional, pertandingan mewarna kanak-kanak, zumba dan persembahan kesenian yang menampilkan nyanyian serta tarian kebudayaan oleh pelajar UMP.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata program itu membolehkan pengunjung termasuk penduduk setempat mengenali UMP dengan lebih dekat.

Katanya, UMP amat menghargai kerjasama pihak Majlis Daerah Pekan (MDP) dan agensi lain yang terbabit dalam menjayakan program itu, terutama berkaitan inisiatif yang berimpak tinggi kepada pembangunan sosioekonomi setempat.

“UMP ingin berkongsi kegembiraan atas pencapaian cemerlang universiti. Jika sebelum ini kampus UMP menjadi antara mercu tanda utama daerah Pekan, kini warga Pekan boleh berbangga kerana UMP baru disenaraikan oleh QS University Rankings sebagai universiti teknikal terbaik di Malaysia dan antara 188 universiti terbaik di Asia,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program itu, di sini.

Daing Nasir berkata, pencapaian bertaraf antarabangsa itu mampu meningkatkan prestij UMP sebagai mercu tanda Pekan yang pastinya menjadi kemegahan warga daerah ini.

“Saya harapkan usaha ini dapat mengeratkan hubungan baik antara warga UMP dengan masyarakat setempat selari dengan Pelan Strategik UMP 2016-2020 dengan tema ‘Memasyarakatkan Teknologi’ serta mendekatkan mahasiswa dengan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Expoconvo 2018, Siti Aishah Darmawansyah berkata, Expoconvo pada tahun ini akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai segenap lapisan masyarakat sehingga menjelang kemuncak konvokesyen.

“Antara aktiviti ialah larian malam Black Night Run, blush with brush, pertandingan menghias kek, konsert Expoconvo’18, santai bersama Da’i Syed, kid zone, street sciene @galeri, forum kesihatan Gen-Y dan pertandingan STEM @UMP.

“Selain itu, terdapat gerai jualan, kaunter perkhidmatan agensi termasuk Tabung Haji, Ar-Rahnu dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK),” katanya.

Seramai 2,773 graduan bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMP Kali Ke-13 yang akan diadakan pada 10 dan 11 November ini di Kompleks Sukan UMP Gambang, dekat sini.

Majlis akan menyaksikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Canselor UMP mengurniakan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada graduan pada sidang pertama konvokesyen.

Berita Harian X