Khamis, 1 November 2018 | 3:30pm
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan kepada Dr Aman Rabu (dua dari kanan) ketika melawat Wad ICU yang terbabit dalam kejadian kebakaran sehingga mengorbankan enam nyawa pada 25 Oktober 2016 di Hospital Sultan Aminah (HSA), Johor Bahru. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

TMJ lawat wad terbakar HSA

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berkenan meluangkan masa hampir setengah jam melawat tingkat dua Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, sebentar tadi.

Lokasi dilawati Tunku Ismail itu adalah kawasan terjejas dalam kejadian kebakaran yang menggemparkan negara sehingga mengorbankan enam nyawa pada 25 Oktober 2016.

Ketibaan Tunku Ismail yang turut ditemani pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Izham Tarmizi, disambut Pengarah HSA, Dr Aman Rabu.

Tunku Ismail sempat melawat lokasi terjejas dalam kejadian kebakaran serta diberikan penerangan ringkas daripada pihak HSA.

Sebelum berangkat pulang, Tunku Ismail sempat melawat kawasan permainan kanak-kanak yang terletak tidak jauh dari lobi utama HSA sebelum menyampaikan sumbangan bagi menambah baik kawasan permainan berkenaan.

Sementara itu, Dr Aman berkata, pihaknya berasa amat berbesar hati dengan kesudian Tunku Ismail berkenan untuk melawat kawasan wad ICU HSA yang terjejas dalam kebakaran.

“Tunku Ismail bersimpati atas apa yang berlaku dan berharap projek baik pulih wad berkenaan dapat dipercepatkan.

“Kita sudah pun mengemukakan permohonan baik pulih wad yang terjejas ini kepada kementerian sejurus selepas kejadian dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas lawatan berkenaan.

84 dibaca
Berita Harian X