Isnin, 29 Oktober 2018 | 2:32pm
PESERTA menyertai Program Tadarus dan Khatam al-Quran Perdana anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Masjid Bandar Tangkak. - Foto Adi Safri

Jom bertadarus

TANGKAK: Kira-kira 1,500 umat Islam dari sekitar daerah ini menyertai Program Tadarus dan Khatam al-Quran Perdana anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi menyemarakkan pembudayaan kitab suci itu di seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Abdul ‘Alim Abd Shukor, berkata inisiatif itu juga diadakan bagi menyemarakkan penghayatan al-Quran sepanjang tahun dan tidak hanya terhad pada Ramadan.

Katanya, sebagai pencetus program, MAINJ akan memastikan program ini dilaksanakan secara berterusan di setiap daerah dan masjid di negeri ini.

“Sebelum ini, kita sudah melaksanakan program sama di tiga daerah lain iaitu Muar, Segamat dan Mersing.

“Pada program ini, kita menyasarkan pembabitan kira-kira 700 umat Islam termasuk golongan asnaf, masyarakat setempat dan pelajar tahfiz,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada NSTP selepas merasmikan Program Tadarus dan Khatam al-Quran Perdana anjuran MAINJ di Masjid Bandar Tangkak di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul ‘Alim turut menyertai program tadarus al-Quran bersama umat Islam, disusuli dengan penyampaian sumbangan wang tunai RM100 dan barangan keperluan harian kepada 200 orang asnaf.

Pada program itu juga, MAINJ menyampaikan bantuan perubatan berjumlah RM80,000 kepada empat orang asnaf menjalani rawatan berkaitan masalah hati dan tulang yang kronik.

Abdul ‘Alim berkata, selain tadarus al-Quran, MAINJ juga mengambil inisiatif untuk menyediakan guru kepada mereka yang belum lancar membaca kitab suci itu.

“Bagi mereka yang belum mampu membaca al-Quran secara lancar, kita menyediakan kumpulan lebih kecil dengan seorang guru yang akan membantu mereka untuk membaca dengan lebih sempurna.

“Sekurang-kurangnya mereka akan mampu membaca al-Quran, terutama surah lazim. Kita akan bantu mereka supaya dapat bersama-sama mendekatkan diri dengan al-Quran pada masa akan datang,” katanya.

Berita Harian X