Khamis, 11 Oktober 2018 | 11:26am
ANGGOTA bomba dan Penyelamat menyelamat mangsa yang terperangkap dengan bot dan bawa dibawa ketempat yang selamat. - Foto ihsan bomba

22 penduduk Kampung Seri Sentosa diarah pindah

KUALA SELANGOR: Seramai 22 penduduk termasuk dua kanak-kanak dan sembilan warga emas terperangkap selepas lapan rumah berdekatan sungai di Kampung Seri Sentosa, Ladang Tuan Mee, di sini, dinaiki air dalam kejadian banjir kilat, malam tadi.

Kesemua mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Masjid Attaufiqiyah Desa Coaffields, di sini, berikutan limpahan air dari sungai berdekatan akibat hujan lebat berterusan selama beberapa jam sebelum itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Bestari Jaya, Penolong Penguasa Bomba Sahidallah Osman, berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.28 dan seramai 12 anggota serta pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, pihak kami mendapati kawasan tersebut dinaiki air sedalam 1.8 meter akibat limpahan air dari sungai berdekatan.


KAWASAN Kampong Seri Sentosa dinaiki air sedalam 6 kaki akibat limpahan air dari sungai berdekatan. - Foto ihsan bomba

“Anggota bertugas kemudian menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap dengan menggunakan bot sebelum dibawa ke tempat yang selamat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, berdasarkan rekod, pecahan mangsa di tempat di pusat pemindahan itu terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, empat wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

“Selebihnya adalah warga emas yang terdiri daripada tiga lelaki serta enam wanita,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan di kawasan kampung itu termasuk bagi meneliti keadaan bencana sehingga air surut.

NSTP turut difahamkan, lokasi bencana adalah kawasan tadahan banjir dan sebelum ini kejadian yang sama pernah berlaku.

Berita Harian X