Rabu, 10 Oktober 2018 | 7:05pm
Orang ramai menggunakan perkhidmatan farmasi pandu lalu yang diperkenalkan sejak Januari 2011 jelas amat memudahkan pesakit yang memerlukan bekalan ubat susulan di Hospital Melaka. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Tak perlu bazir masa

MELAKA: “Buat apa hendak membazir masa menunggu lama di kaunter, sedangkan di Farmasi Pandu Lalu (FPL), tak sampai 10 minit, kita sudah dapat ubat,” kata pengguna FPL Hospital Melaka, Absah Kidan, 63.

Warga emas itu berkata, perkhidmatan FPL amat memudahkan urusan pesakit, terutama mereka yang perlu mendapatkan bekalan ubat susulan.

Katanya, hampir tiga tahun dia menggunakan perkhidmatan itu yang ternyata menjimatkan masa apabila setiap bulan perlu mengambil bekalan ubat untuk cucu perempuannya yang berusia lapan tahun.

“Tanpa perlu bersusah payah mencari parkir dan turun daripada kereta, saya hanya perlu luangkan masa tidak sampai 10 minit untuk mengambil bekalan ubat,” katanya ketika ditemui di kaunter FPL Hospital Melaka, di sini, hari ini.

Terdahulu, EXCO Kesihatan negeri, Low Chee Leong mengadakan lawatan ke farmasi berkenaan bersama Pengarah Hospital Melaka, Dr Hatijah Mohd Tan dan Ketua Jabatan Farmasi, Saidatul Raihan Ibrahim.

Chee Leong berkata, FPL yang diperkenalkan sejak tahun 2011 amat memudahkan pesakit yang memerlukan bekalan ubat susulan.

Katanya, pesakit yang perlu mendapatkan bekalan ubat susulan hanya perlu mendaftar di kaunter utama farmasi hospital dan selepas itu urusan pengambilan ubat akan dilakukan di FPL.

“Setakat ini, belum ada isu pemberian ubat yang salah kerana petugas farmasi sudah membuat penyediaan awal mengikut preskripsi ubat diberikan doktor.

“Sejak dilancarkan hingga September lalu, sebanyak 66,378 bungkusan ubat disediakan FPL kepada pesakit yang menggunakan perkhidmatan itu,” katanya.

Berita Harian X