Selasa, 9 Oktober 2018 | 6:35pm
NORHIZAM (tengah) berbincang bersama Penghulu Pengkalan Batu, Ayub Husin (kanan) dan Pengerusi Taman Akasia, Mohd Shari Mohamed Amin (kiri) sebelum sidang media penutupan jalan alternatif ke Taman Akasia, Batu Berendam. - NSTP/Khairunisah Lokman
NORHIZAM (dua dari kanan) pada sidang media penutupan jalan alternatif ke Taman Akasia, Batu Berendam. - NSTP/Khairunisah Lokman

Bukan berat sebelah, tapi utamakan keselamatan

MELAKA: Tindakan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menutup dua jalan alternatif di Taman Akasia, Pengkalan Batu di sini diambil selepas mengambil kira faktor keselamatan penduduk di kawasan itu.

Penutupan jalan yang turut digunakan penduduk Kampung Pulau Nibong sebagai laluan ke jalan utama itu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk kampung di situ.

EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee, berkata keputusan terbabit dibuat bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya untuk keselamatan dan keselesaan penduduk.

Beliau berkata, jalan alternatif berkenaan adalah laluan pintas yang dibuat di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

“Jalan ini diguna oleh penduduk kampung berhampiran untuk keluar ke jalan utama sejak tahun 2005.

“Keputusan penutupannya (jalan) dibuat selepas penduduk berasakan keselamatan, terutama kanak-kanak tidak selamat apabila kenderaan yang melalui kawasan ini dipandu laju. Ia bukanlah (keputusan) atau alasan untuk lebihkan penduduk taman perumahan,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk taman dan kampung yang terbabit, di sini, hari ini.


NORHIZAM (tiga dari kanan) bersama Penghulu Pengkalan Batu, Ayub Husin (dua dari kanan) dan Pengerusi Taman Akasia, Mohd Shari Mohamed Amin (kiri) meluangkan masa melawat ke jalan alternatif Taman Akasia, Batu Berendam yang kini ditutup. - NSTP/Khairunisah Lokman

NORHIZAM (kiri) bercakap dengan wakil penduduk Kampung Pulau Nibong, Md Derus Tompang, 58, (dua dari kanan) dan Julia Mohamat, 45, (kanan) pada sidang media susulan penutupan jalan alternatif ke Taman Akasia, Pengkalan Batu. - NSTP/Khairunisah Lokman

Difahamkan, penutupan jalan itu juga antara lain bertujuan mengelakkan kes kecurian motosikal daripada terus berlaku dengan lima kes dilaporkan sebelum ini.

Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, penutupan jalan yang dibuat pada Selasa lalu mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk kampung.

“Sepatutnya penduduk tahu membezakan mana satu jalan alternatif dan jalan utama. Setahu saya, jalan taman untuk orang taman.

“Sebelum ia (keputusan) dibuat, saya sudah buka buku dan melihat akta. Kalau penduduk kampung berasakan saya menyebelahi penduduk taman perumahan, mereka boleh lantik peguam dan kita lakukannya mengikut undang-undang,” katanya.

Berita Harian X