Selasa, 9 Oktober 2018 | 2:57pm

PPDA Selangor masih ada 41 anggota terlatih

SHAH ALAM: Kehilangan enam anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, baru-baru ini, tidak akan menjejaskan operasi di Selangor.

Pengarah JBPM Selangor, Azmi Osman, berkata unit PPDA di negeri ini masih memiliki 41 anggota terlatih serta pakar dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di air.

“PPDA Selangor baru kehilangan enam anggotanya yang cukup terlatih dalam SAR di air. Namun ia sedikit pun tidak melunturkan semangat 41 anggota lain yang ada dalam pasukan ini.

“Malah, ia dibuktikan apabila tiga anggota JBPM Selangor ketika ini menjalani latihan untuk diserapkan ke PPDA. Ini membuktikan tragedi yang berlaku tidak langsung melemahkan semangat anggota kita,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima kunjungan produksi filem Paskal terdiri daripada Pengarah Urusan Kumpulan Multimedia Entertainment Sdn Bhd, Datuk Steven Lim; Penerbit Eksekutif Astro Shaw, Datuk Khairul Anwar Salleh; Pengarah filem, Adrian Teh dan barisan pelakon.

Mereka turut menghulurkan sumbangan RM30,000 yang diterima oleh Azmi, sebagai tanda simpati kepada keluarga enam anggota bomba yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Pada majlis sama, wakil Kumpulan Penyelamat Gunung, MK Rahman dan Persatuan Pendaki Malaysia, Noor Maizatul Yahya turut menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada keluarga mangsa.

Dalam kejadian jam 9.15 malam 3 Oktober lalu, enam penyelam PPDA maut ketika menjalankan operasi SAR seorang remaja terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.

Mereka yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, sebahagian anggota PPDA yang ketika ini ditempatkan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dan Klang akan dipindahkan ke BBP KLIA dan Selayang dalam tempoh terdekat.

“Ketika ini, semua anggota PPDA ditempatkan di BBP Shah Alam dan Klang. Mereka akan bergerak ke seluruh negeri jika ada kecemasan. Kita melihat ada keperluan untuk menyusun serta menempatkan unit PPDA ke BBP lain,” katanya.

AZMI (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada Noor Maizatul di Ibu Pejabat JBPM Selangor, di Shah Alam. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Berita Harian X