Isnin, 8 Oktober 2018 | 3:44pm
GAMBAR fail, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengadakan sidang media selepas meninjau proses pemilihan kepimpinan PKR Cabang Pengkalan Chepa di Dewan Cerana Villa Restauran. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

5 agensi perumahan mampu milik diletak bawah KPKT - Zuraida

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini memuktamadkan lima agensi perumahan mampu milik, diletakkan di bawah kementerian itu selewat-lewatnya Disember ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, agensi beroperasi secara persendirian itu membabitkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA); Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB); Uda Holdings Berhad, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Beliau berkata, penyeragaman agensi berkenaan adalah untuk membolehkan kerajaan menyelaras dan memantau projek perumahan mampu milik pada masa akan datang.

“Agensi ini perlu mematuhi Dasar Perumahan Negara baharu, yang akan diumumkan Disember ini,” katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, Zuraida menyertai dialog terbuka antara Kerajaan-Industri, anjuran Institut Kepemimpinan Strategi Asia (ASLI) dan Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS).

Yang turut hadir, Pengerusi ASLI, Tan Sri Jeffrey Cheah dan Pengerusi CPPS, Tan Sri Ramon Navaratnam.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang, berkata penyeragaman agensi perumahan mampu milik itu untuk mengelakkan pertindihan projek pembinaan rumah antara pemaju untuk golongan sasar, B40 dan M40.

Katanya, kerajaan akan memastikan pemaju persendirian mematuhi garis panduan ditetapkan dan bekerjasama rapat dengan kementerian.

“Saya percaya pelaksanaan dasar awam akan mempromosikan operasi dan strategi lebih baik di seluruh negara. Penekanan lain termasuk melaksanakan Sistem IBS dan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Zuraida berkata semua kerajaan negeri digesa menghantar senarai tanah untuk pembangunan projek rumah mampu milik, penghujung bulan ini.

“Setakat ini, hanya tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah menghantar cadangan mereka,” katanya merujuk kepada projek pembinaan rumah mampu milik pada masa akan datang.

Zuraida mendakwa projek pembinaan rumah mampu milik yang akan dilaksanakan di seluruh negara perlu mematuhi piawaian standard ukuran tanah antara 1.12 hektar hingga 4.05 hektar.

Berita Harian X