Ahad, 30 September 2018 | 9:03am
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama penduduk Keningau sempena program Hari Bertemu Ketua Menteri di Dewan Masyarakat Keningau, semalam. - Foto BERNAMA

Sabah komited kukuhkan keselamatan demi pertumbuhan pelancongan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited untuk mengukuhkan sistem keselamatan di wilayah ini bagi mengembangkan sektor pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya sudah berbincang dengan kerajaan Pusat bagi menjamin keselamatan bukan saja terhadap rakyat tempatan, malah pelancong.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan negeri, saya memberi jaminan kita akan mengambil tindakan tegas terhadap dalang yang melakukan penculikan.

“Menculik bukan budaya negara ASEAN. Kita harus mengukuhkan perdagangan antara negara termasuk Filipina dan Indonesia bagi membangunkan wilayah ini demi kebaikan rakyat dan saya sudah sampaikan mesej ini kepada gabenor Mindanao dan Sulawesi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Festival Tanglung dan Kuih Bulan peringkat negeri di Lintasan Deasoka, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah isterinya, Datin Seri Shuryani Shuaib; Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai; Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide dan Presiden Persatuan Masyarakat Cina Bersekutu Sabah (USCCA) Kota Kinabalu, Datuk Susan Wong.

Mohd Shafie berkata, sektor pelancongan adalah bidang ekonomi yang diberikan penekanan selain kayu-kayan, minyak dan gas serta automotif sejajar usaha menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Terdahulu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri menyediakan dana RM50,000 bagi penganjuran festival berkenaan dan akan terus menyokong aktiviti kebudayaan seperti itu kerana ia mampu mengukuhkan perpaduan rakyat.

Kira-kira 1,000 orang mengambil bahagian dalam acara perarakan tanglung sempena festival berkenaan.

Berita Harian X