Khamis, 27 September 2018 | 7:10pm
TIGA buah rumah rosak dalam kejadian tanah runtuh di Taman Shanghai, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Kerja korek tanah punca cerun runtuh

KUALA LUMPUR: Kerja mengorek tanah di tapak pembinaan terletak di belakang deretan rumah teres di Taman Shanghai, Jalan Klang Lama, di sini, dikenal pasti menjadi punca kejadian cerun runtuh petang kelmarin.

Kejadian itu menjejaskan tiga rumah teres di Lorong Pisang 1 di sini, manakala binaan tambahan bahagian dapur salah sebuah rumah rosak sama sekali.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumur Azahar Rabu berkata, pihaknya menasihati penghuni di tiga rumah yang terjejas supaya mengosong kediaman masing-masing.

“Selepas membuat pemantau petang semalam, kami mendapati runtuhan cerun berlaku sepanjang 4.5 meter hingga enam meter.

“Malah keadaan rumah pertama dilihat agak bahaya berikutan tanah pada bahagian bawah lantainya sudah runtuh. Hanya tinggal lantai tanpa sokongan.

“Pihak kami khuatir jika berlaku hujan lebat, tanah akan runtuh lagi dan mungkin akan menyebabkan keadaan lebih teruk. Buat masa ini, bahagian dapur rumah kedua sudah runtuh sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menghubungi jurutera dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk melihat kembali situasi pergerakan tanah di kawasan itu.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Lumpur, Kapten (PA) Aziana Hizazi berkata, pihaknya bekerjasama dengan beberapa agensi lain dalam memastikan penghuni selamat.

“Kejadian ini menyebabkan tiga rumah teres terjejas di mana rumah kedua paling teruk manakala rumah ketiga hanya mengalami tanah runtuh tanpa membabitkan struktur rumah. Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan cedera atau maut dalam kejadian ini,” katanya.

NOTA: Kediaman kondominium Avantas Residence yang terletak berhampiran kawasan kejadian di Lorong Pisang 1 tidak ada kaitan dengan punca kejadian cerun runtuh berkenaan.

Berita Harian X