Khamis, 27 September 2018 | 6:05pm

Bot berlanggar: 1 maut, 2 hilang

LIMBANG: Seorang warga Brunei maut manakala dua rakyat tempatan masih hilang selepas bot yang mereka naiki berlanggar di Sungai Simpang Tiga, Kampung Limpa Ku Pinang, di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 2 petang itu turut menyebabkan dua lagi warga Brunei cedera parah.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, kejadian itu membabitkan sebuah bot penambang dari Limbang dengan sebuah bot laju dari Brunei.

Beliau berkata, bot penambang dari Limbang itu membawa enam orang penumpang manakala bot laju dari Brunei membawa 20 penumpang.

“Dua penumpang bot penambang dari Limbang yang masih hilang dikenali sebagai Mohd Nazmi Marali, 21 dan Awang Syukri Awangku Rizan, tujuh tahun. Seorang penumpang bot laju dari Brunei disahkan meninggal dunia manakala dua lagi cedera parah,” katanya.


PASUKAN penyelamat bersama penduduk kampung mencari mangsa susulan pelanggaran bot di Sungai Simpang Tiga, Kampung Limpa Ku Pinang, di Limbang. - Ihsan Discover Lawas

Beliau berkata, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 petang, pihaknya menggerakkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

Operasi itu turut dibantu anggota polis, Agensi Penguatkuasa Maririm Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Bomba Sukarela serta penduduk kampung.

Pihak berkuasa Brunei turut menghantar anggota bomba dari negara itu yang menaiki sebuah bot serta sebuah helikopter bagi membantu mencari dua mangsa yang masih hilang.

17 dibaca
PASUKAN penyelamat bersama penduduk kampung mencari mangsa susulan pelanggaran bot di Sungai Simpang Tiga, Kampung Limpa Ku Pinang, di Limbang. - Ihsan Discover Lawas
Berita Harian X