Selasa, 18 September 2018 | 2:57pm
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menangkap ular tedung hitam sepanjang dua meter, di Kampung Timbang, Kota Belud. - Foto Recqueal Raimi

Terkejut ular ketika memasak

KOTA BELUD: Wanita berusia 46 tahun dan seorang anak perempuannya berusia 15 tahun berdepan detik cemas apabila dikejutkan dengan kemunculan seekor ular tedung hitam ketika memasak di rumah mereka di Kampung Timbang, semalam.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, dua beranak itu sedang memasak untuk menyediakan makan malam namun tertangguh selepas menyedari reptilia di belakang mereka.

Loime Tami, 46, berkata anak perempuannya yang membantunya memasak menyedari ular sepanjang dua meter itu ketika menoleh ke belakang untuk mengambil bahan memasak di meja.

“Anak saya tiba-tiba menjerit mengatakan seekor ular berwarna hitam muncul di belakang mereka.

“Jarak di antara reptilia itu dan kami hanya beberapa langkah. Malah, keadaan itu ‘menyeramkan’ apabila ia menegakkan kepala,” katanya kepada NSTP.

Katanya, dia sempat memadam api gas sebelum mengelilingi meja dengan berhati-berhati dan keluar dari ruang dapur.

“Anak saya lebih takut dan memegang erat tangan saya sehingga kami beredar dan menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Unit Kota Belud, Paulina Francis, berkata sepasukan anggota dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan.

“Anggota APM mendapati reptilia berbisa seberat satu kilogram itu berada di ruang dapur rumah pengadu dan berjaya menangkapnya menggunakan penjerut dan penyepit ular.

“Skuad APM seterusnya melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain dan menamatkan operasi jam 9.28 malam,” katanya.

Berita Harian X