Rabu, 12 September 2018 | 3:05pm
KETUA Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad. - Foto Supian Ahmad

Kerja gerudi dasar laut sudah dilaporkan

PELABUHAN KLANG: Laporan mengenai kerja penggerudian dasar laut yang menyebabkan paip pecah di Terusan Bagan, minggu lalu, sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan.

Laporan itu dibuat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), berikutan kerja penggerudian oleh pihak ketiga itu menyebabkan pengguna di Pulau Ketam, Bagan Teochew dan Sungai Lima terputus bekalan air sejak beberapa hari lalu.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad, berkata pihaknya sudah mengenal pasti punca paip dasar laut pecah itu disebabkan pihak ketiga bagi projek penggerudian.

“Pemakluman dan laporan mengenainya sudah dibuat kepada pihak berkenaan. Namun, fokus buat masa ini adalah untuk mempercepatkan kerja pembaikan bagi pemulihan bekalan kepada pengguna.

“Ia tiada kaitan dengan bahan dan jenis paip, kelemahan dalam reka bentuk paip mahupun permintaan bekalan air yang tinggi,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja membaik pulih sedang giat dijalankan dan ia dijangka siap esok.

“Jajaran paip baharu jenis HDPE dengan diameter 400mm sudah siap. Ketika ini, proses menaikkan paip pecah masih berlangsung. Apabila paip pecah itu dinaikkan dari dasar laut, kami akan melakukan penyambungan semula dengan paip baharu,” katanya.

Abdul Raof berkata, bekalan air bantuan kecemasan akan terus dihantar kepada penduduk di kawasan yang terjejas setiap hari sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

“Bantuan kecemasan akan terus disalurkan dan kami akan mengadakan perjumpaan serta memberi penerangan kepada ketua kampung dan penduduk,” katanya.

Maklumat mengenai status terkini gangguan bekalan ini boleh dilayari menerusi internet di alamat www.syabas.com.my atau aplikasi telefon bimbit pintar ‘Air Selangor’ atau layari Facebook Air Selangor.

NSTP sebelum ini melaporkan penduduk di tiga kawasan itu mengalami gangguan bekalan air berikutan proses kerja pembaikan paip dasar laut yang pecah di Terusan Bagan, 4 September lalu.

Kejadian itu menyebabkan bekalan air untuk kira-kira 6,000 penduduk di Pulau Ketam, Bagan Teochew dan Sungai Lima terjejas.

11 dibaca
Berita Harian X