Isnin, 10 September 2018 | 10:26pm
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyampaikan anugerah tokoh ulama silam 1140M/2018M kepada Allahyarham Datuk Mustafa Ahmad yang diwakili anaknya, Mohd Hilal Mustafa sempena Majlis sambutan Maal hijrah peringkat Negeri Sembilan bagi tahun 1440H/2018M di Masjid Negeri turut sama hadir Menteri Besar, Aminuddin Harun. - Foto Hazreen Mohamad

Jauhi pecah belah dan fitnah

SEREMBAN: Umat Islam di negeri ini diseru untuk menjauhi segala tindakan yang boleh memburukkan agama Islam dan menimbulkan permusuhan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, budaya fitnah, taksub yang melulu dan berpuak-puak bukan sahaja boleh memecahbelahkan masyarakat malah boleh memberikan imej buruk kepada agama Islam.

"Kita mungkin berbeza dan pelbagai namun jadikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, muafakat membawa berkat. Kepelbagaian dan perbezaan merupakan suatu keindahan dan kekuatan yang Allah sediakan untuk kita," katanya.

"Dengan tema Maal Hijrah 'Menyantuni Umat Membawa Rahmat' bermakna kita memasnifestasikan rahmat Allah menerusi gerak kerja menyantuni umat," katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti, Datuk Shahbandar Sungei Ujong dan Datuk Undang-undang Yang Empat.


Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Aminuddin berkata, kepimpinan kerajaan negeri hari ini yang meliputi semua peringkat perlulah berilmu, tegas dan prihatin dalam menyantuni keperluan orang ramai dengan ikhlas.

"Menyantuni umat bermakna mengambil berat, memberi perhatian, berkhidmat, membantu, menyokong dan memenuhi keperluan rakyat.

"Antara tugas yang perlu dilakukan adalah dengan merancang dan melaksanakan program pembangunan untuk memenuhi keperluan asas masyarakat, tidak mengira bangsa dan agama, lebih-lebih lagi mereka yang hidup dalam kesusahan.

"Selain itu, kita perlu menyediakan keperluan rasa selamat, aman, kasih sayang dan jati diri, selain keperluan iman dan ilmu di kalangan masyarakat, yang juga hak kemanusiaan. Kita perlu memastikan semua orang, tidak kira kaya atau miskin mendapat pendidikan yang selayaknya," katanya.

Pada majlis itu, Tuanku Mukhriz turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ulama Silam 1440H/2018M kepada Allahyarham Datuk Mustafa Ahmad, ulama kelahiran Padang Lalang Jempol, Negeri Sembilan.

Anugerah itu diterima oleh anak kedua Mustafa, Mohd Hilal.

Berita Harian X