Jumaat, 7 September 2018 | 7:53pm

Penstrukturan semula perlu disegerakan

PUTRAJAYA: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang pada peringkat akhir penyediaan tawaran untuk penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air di Pahang yang tertangguh sejak 2013.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, mengambil kira keadaan semasa berhubung pengurusan sumber dan bekalan air di Pahang, sudah dipersetujui secara bersama bahawa penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air di negeri Pahang perlu diselesaikan dalam jangka masa terdekat.

“Kerajaan Persekutuan melalui kementerian ini komited bekerjasama baik dengan kerajaan negeri Pahang dalam memastikan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti, berterusan dan berdaya maju dapat dinikmati seluruh rakyat Pahang.

“Sehubungan itu, satu pertemuan antara Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail diadakan semalam bagi membincangkan langkah penyelesaian jangka panjang yang komprehensif ke arah kemapanan industri perkhidmatan bekalan air di Pahang,” katanya, semalam.

Kenyataan itu menjelaskan, sejak kebelakangan ini Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menerima beberapa aduan mengenai masalah gangguan bekalan air yang berlaku di Pahang terutama di kawasan perindustrian Gebeng, daerah Raub, daerah Lipis dan bandar Triang.

Katanya, gangguan bekalan air yang kerap berlaku adalah disebabkan ketidakupayaan untuk merawat air mentah kerana kekeruhan yang tinggi, paip retikulasi tidak diselenggara dan usang menyebabkan kejadian paip pecah dan bocor selain gangguan bekalan elektrik.

“Bagi membantu menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang berlaku, kementerian ini mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Mengatasi Gangguan Bekalan Air di Pahang pada 28 Ogos lalu bersama kerajaan negeri.

“Sebagai penyelesaian jangka pendek di kawasan perindustrian Gebeng, persetujuan dicapai supaya ‘sheet pile’ (keping besi penghadang) dipasang di Ban Sungai Kobat bagi mengelakkan kemasukan air masin semasa musim hujan dan meninggikan paras air mentah semasa cuaca panas untuk kegunaan Loji Rawatan Air (LRA) Semambu dan LRA Pancing.

“Sejumlah RM5.5 juta daripada peruntukan kerajaan persekutuan akan digunakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang bagi melaksanakan kerja darurat manakala baki RM5 juta lagi akan dilaksanakan oleh pihak swasta.

“Perbincangan antara JPS dan Bahagian Bekalan Air (BBA) juga akan diadakan bagi merangka penyelesaian jangka panjang melalui pembinaan baraj (sistem pengawalan pasang surut sungai) di Sungai Kobat.

“Sementara itu, cadangan menaik taraf LRA Triang akan diteliti untuk menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang kerap berlaku di Triang terutama ketika musim perayaan, disebabkan kenaikan permintaan secara mendadak,” katanya.

35 dibaca
Berita Harian X