Khamis, 6 September 2018 | 2:23pm
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye menyampaikan sijil pengiktirafan Standard Sistem Pengurusan kepada penerima di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto ihsan Jabatan Penerangan

NIOSH Certification bantu kilang, ladang capai pensijilan MSPO

KOTA KINABALU: NIOSH Certification Sdn Bhd, anak syarikat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sedia bekerjasama dengan pihak ladang, kilang serta persatuan dalam sektor kelapa sawit.

Ini bagi membolehkan pemain industri dalam sektor berkenaan mencapai Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada akhir tahun 2019 seperti disasarkan kerajaan.

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata NIOSH Certification yang menjalankan aktiviti pengauditan, pensijilan dan pengiktirafan terhadap industri di Malaysia dan mencapai tahap piawaian antarabangsa, telah menerima kelulusan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia sebagai pusat latihan Juruaudit MSPO, Jun lalu.

Katanya, NIOSH Certification telah diiktiraf sebagai Badan Pensijilan melalui akreditasi Jabatan Standard Malaysia atau Standards Malaysia.

“NIOSH Certification mengeluarkan lebih 100 pensijilan kepada pelbagai organisasi kerajaan dan swasta sehingga kini, manakala setiap tahun NIOSH melatih lebih 120,000 individu dalam pelbagai program berkaitan KKP.

“NIOSH Certification juga membuka pejabat operasi bagi Wilayah Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu pada 1 Ogos, 2016 untuk memberi perkhidmatan lebih berkesan bagi industri dan pelanggannya di Borneo,” katanya selepas menyampaikan sijil pengiktirafan Standard Sistem Pengurusan kepada organisasi yang memenuhi standard itu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengarah NIOSH Certification, Nik Hasbi Fathi Nik Husain Fathi; Pengurus Besar NIOSH Certification, Syamsul Zahrin Zainuddin dan Pengarah Akreditasi Standards Malaysia, Shaharul Sadri Alwi.

Lam Thye berkata, pihak pengurusan yang menerima pensijilan NIOSH Certification membuktikan mereka memberi komitmen tinggi terhadap keperluan dan kepentingan standard dalam menguruskan organisasi termasuk dari segi KKP, kualiti kerja dan produk serta penjagaan alam sekitar.

“Seiring keperluan negara dan industri, NIOSH Certification turut menawarkan pensijilan ISO45001 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta pensijilan bagi Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001), Alam Sekitar (ISO 14001), Keselamatan Makanan (ISO 22000) dan Pensijilan Kelapa Sawit Mampan Malaysia (MS 2530),” katanya.

Beliau berkata ISO 45001 adalah Sistem Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (OHS MS) yang pertama dikeluarkan Badan Standard Antarabangsa dan syarikat yang telah mendapat pensijilan OHSAS18001 diberi tempoh tiga tahun iaitu sebelum 12 Mac 2021 untuk berpindah ke ISO 45001.

Berita Harian X