Rabu, 5 September 2018 | 5:22pm

Kerajaan negeri teliti alasan kontraktor

SEREMBAN: Kerajaan negeri belum bercadang untuk mengambil tindakan terhadap kontraktor yang lewat menyiapkan pengubahsuaian bangunan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sehingga pengisytiharan Seremban sebagai bandar raya ditangguhkan.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata kerajaan negeri akan meneliti setiap alasan dan permasalahan dikemukakan kontraktor terbabit sebelum mengambil tindakan.

“Kita kena teliti dan lihat dulu (alasan kelewatan). Mungkin ada beberapa masalah yang menjadi punca kelewatan seperti keadaan cuaca dan hal lain.

“Kerajaan negeri tidak boleh terus ambil tindakan. Kita perlu ambil kira semua aspek,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Isnin lalu, Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Infrastruktur dan Kemudahan Awam mengumumkan pengisytiharan Seremban sebagai bandar raya yang dijadualkan pada 1 Januari tahun depan ditangguhkan kerana kelewatan kontraktor, selain mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diatasi.

“Kelemahan membabitkan infrastruktur awam seperti pengangkutan awam, hotel bertaraf tiga bintang ke atas dan pusat pengajian tinggi perlu mencukupi sebelum Seremban dinaik taraf sebagai bandar raya,” katanya.

Sebelum ini, Seremban bakal diisytiharkan sebagai bandar raya secara rasmi pada Januari tahun depan, bersempena sambutan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

MBS membabitkan percantuman dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN).

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan melantik Hanis Huzairah Abd Hanan, 45, sebagai Yang Dipertua MPN yang baharu.

“Pelantikan itu menjadikan Huzairah wanita pertama bagi jawatan itu di negeri ini.

“Beliau pernah berkhidmat di Negeri Sembilan selama 11 tahun di bawah Unit Kerajaan Tempatan sebelum bertukar ke Kementerian Sumber Asli,” katanya.

AMINUDDIN Harun pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad
Berita Harian X