Rabu, 5 September 2018 | 12:30pm
MAHAD Othman menunjukkan keris yang dihasilkannya. - Foto Hassan Omar
PENEMUAN tulisan Jawi di keris yang dicanai Mahad Othman. - Foto Hassan Omar

Tulisan Jawi timbul pada keris

ALOR GAJAH: Keasyikan seorang pesara kerajaan menghasilkan keris dikejutkan dengan penemuan tulisan Jawi pada senjata itu.

Mahad Othman, 64, tidak menyangka tulisan itu `muncul’ secara tiba-tiba ketika beliau hendak menyambung tugas mencanai besi untuk dibentuk menjadi keris sembilan luk.

Katanya, pada mulanya beliau tidak menyedari kehadiran beberapa bentuk tulisan terbabit sehinggalah terpandang bentuk seakan-akan seperti tulisan Jawi yang sukar difahami maksudnya.

“Ketika menyambung semula tugas mencanai pagi semalam, tiba-tiba saya ternampak benda seakan-akan tulisan Jawi pada bahagian hujung keris.

“Saya cuba mentafsirnya, tetapi tidak mampu sebelum saya membawanya berjumpa dengan seorang ustaz dan dia (ustaz) menyatakan ia memang tulisan Jawi. Bagaimanapun, ia tidak mendukung makna kerana berpisah antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Selepas bersara daripada Jabatan Pendidikan Melaka beberapa tahun lalu, Mahad menghasilkan parang, pisau dan keris dengan kaedah mencanai besi bagi memenuhi permintaan pelanggannya.

Senjata dilengkapi hulu itu dijual pada harga antara RM70 hingga RM200 sebilah tertakluk pada jenis objek yang dipesan pelanggan.

Mahad berkata, beliau kemudian merujuk perkara itu kepada beberapa rakan yang memiliki keris pusaka keluarga, sebelum mereka menyatakan keris yang dibuat sejak minggu lalu itu ‘serasi’ dengan dirinya.

“Rakan saya kata keris itu memang serasi dengan saya dan tidak mahu berdamping orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menolak tanggapan segelintir pihak kononnya keris itu bakal membawa tuah kerana dibimbangi boleh menyebabkan akidah terpesong.

“Setiap yang berlaku adalah dengan ketentuan Allah dan bukannya atas ketentuan keris itu kerana ia hanyalah objek yang tidak mampu memberikan apa-apa kesan ke atas makhluk,” katanya.

85 dibaca
Berita Harian X