Rabu, 29 Ogos 2018 | 3:34pm
AMINUDDIN Harun. - Foto NSTP

NS kaji semula pelaksanaan MVV

SEREMBAN: Pelaksanaan projek pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) di bahagian barat negeri ini yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) oleh kerajaan terdahulu, akan dikaji semula.

Menteri Besar, Aminuddin Harun, berkata kaedah pelaksanaan projek berkenaan yang sebelum ini dijangka siap sepenuhnya pada 2045 tidak lagi terikat dengan rancangan asal, sebaliknya tertakluk kepada perubahan yang akan dilakukan kerajaan negeri dari semasa ke semasa.

“Pembangunan dalam kawasan MVV selepas ini akan dibuat berdasarkan permintaan pasaran dan tawaran daripada pelabur bergantung kepada keadaan semasa.

“Ia juga tidak terikat kepada tempoh 30 tahun yang dijangkakan sebelum ini.

“Antara perubahan yang kita perlu buat ketika ini adalah mengurangkan tumpuan terhadap pembinaan rumah di kawasan MVV kerana permintaan ketika ini sudah berkurangan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Projek MVV yang bermula 2016 sehingga 2045 adalah satu lagi koridor pembangunan baharu yang diumumkan dalam (RMK-11), membabitkan kawasan seluas 108,000 hektar, bertujuan melengkapkan pembangunan sedia ada di Lembah Klang, terutama Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Pembangunan MVV di daerah Seremban dan Port Dickson dibuat berpandukan lima kluster utama iaitu Lembah Pendidikan-Teknologi, Pelancongan dan Kesihatan, Perbandaran Baharu, Daerah Perniagaan Pusat dan Bandar Alam Semula Jadi.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri turut mengkaji semula pemberian kontrak pembinaan menara telekomunikasi di seluruh Negeri Sembilan oleh kerajaan terdahulu kepada sebuah syarikat yang diragui mampu melaksanakan projek berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Rembau dekat sini, tidak akan ditutup sebaliknya terus beroperasi namun dengan menggunakan nama baharu yang akan diputuskan kelak, selain bilangan jabatan serta agensi dikurangkan.

“Kementerian Pembangunan Luar Bandar baru-baru ini menyerahkan RTC kepada tanggungjawab kerajaan negeri. Dengan penyerahan ini, setiap agensi dan jabatan perlu menanggung kos operasi sendiri termasuk membayar sewa bangunan.

“Hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pusat Zakat Negeri Sembilan, Baitulmal dan Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan akan terus beroperasi di situ,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen yang masih beroperasi di situ, akan dipindahkan tidak lama lagi sebaik menerima arahan ibu pejabat.

Katanya, ia berikutan perkhidmatan jabatan itu tidak mendapat sambutan kerana pelanggan lebih memilih Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan di sini, yang membolehkan pasport diproses dalam tempoh sejam berbanding tiga hari di RTC berkenaan.

Katanya, kaunter Pejabat Tanah dan Daerah serta Majlis Daerah Rembau juga dipindahkan semula ke pejabat masing-masing yang terletak berhampiran kawasan berkenaan, manakala Jabatan Tenaga Kerja berpindah ke Institut Latihan Perindustrian Rembau, yang mempunyai kemudahan lebih baik.

Baru-baru ini, Aminuddin dilaporkan berkata, RTC berkenaan akan ditutup dan RTC baharu dibuka di Jempol kerana lokasinya yang lebih strategik untuk penduduk luar bandar.

Kenyataan itu mengundang bantahan ramai penduduk Rembau yang mendakwa penutupan RTC itu akan menyukarkan urusan mereka, terutama warga emas yang terpaksa datang ke Seremban.

Berita Harian X