Selasa, 28 Ogos 2018 | 3:55pm
PENGARAH Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar (tiga kanan) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Dr Mohd Jusoh (tiga kiri) pada Majlis serah tugas Pengarah Kesihatan Terengganu di Wisma Persekutuan. - Foto Ghazali Kori

33 dijangkiti HIV di Terengganu tahun lalu

KUALA TERENGGANU: Kes jangkitan HIV disebabkan amalan seks bebas di seluruh negeri ini semakin membimbangkan apabila ia menunjukkan peningkatan kepada 33 kes, pada 2017.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar, berkata jumlah itu meliputi 27.1 peratus daripada keseluruhan kes HIV berbanding 27 kes atau 20.1 peratus, pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan rekod, katanya, sejak 1988 sehingga Jun lalu, sebanyak 1,083 kes HIV di negeri ini berpunca daripada amalan seks bebas.

“Jumlah keseluruhan yang didaftarkan di negeri ini bagi tempoh sama pula adalah sebanyak 9,816, dengan 84.9 peratus berpunca daripada risiko perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah.

“Bagaimanapun, kes jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah menerusi perkongsian jarum suntikan menunjukkan penurunan daripada 102 kes atau 61.8 peratus pada 2015, kepada hanya 44 kes atau 36.4 peratus tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serah Tugas Pengarah Kesihatan negeri, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Dr Mohammad yang akan bersara wajib mulai esok menyerahkan tugas sebagai Pengarah Kesihatan negeri kepada timbalannya, Dr Mohd Jusoh.

Dr Mohammad berkata, Jabatan Kesihatan negeri melalui Majlis AIDS Malaysia (MAC) akan bergerak lebih agresif bagi memberi kesedaran kepada orang ramai, terutama pengamal homoseksual mengenai bahaya jangkitan HIV dan AIDS.

“Antara inisiatif akan dilakukan ialah mendekati golongan ‘mak nyah’ di negeri ini dengan memberikan kesedaran agar menjauhi kegiatan seks bebas,” katanya.

Berita Harian X