Isnin, 27 Ogos 2018 | 12:43pm

297 murid SJKC Min Sin bentuk formasi 'hati'

IPOH: Seramai 297 murid pelbagai kaum dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Sin, Ampang Baru, di sini, membuat formasi berbentuk hati sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-61.

Kesemua murid tahun satu hingga enam dengan dibantu 35 guru menghasilkan formasi bentuk hati dan angka 61 di tengah padang sekolah itu, pagi ini.

Program seawal jam 8 pagi itu dimulakan dengan perhimpunan pelajar di pentas utama untuk menyanyikan lagu Negaraku dan lagu patriotik Tanggal 31 sebelum bergerak masuk ke padang bagi menyempurnakan formasi.

Sebaik formasi berjaya dibentuk, semua murid kemudian mengibarkan Jalur Gemilang sambil melaungkan ‘Merdeka’.

Guru Besar sekolah itu, Ng Kit Chee, berkata acara julung kali diadakan itu bertujuan membina semangat cintakan negara dalam kalangan murid.

“Murid di sekolah kami terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Cina, India, Melayu, Kadazan, Iban dan Bidayuh.

“Jadi, menerusi perhimpunan ini (membentuk formasi hati) ia dapat menerapkan semangat perpaduan, hormat dan cintakan negara walaupun selepas tamat sesi persekolahan nanti,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Kit Chee berkata, idea dicetuskan oleh guru bagi membangkitkan semangat kemerdekaan dan mereka mengambil masa seminggu untuk berlatih bagi membentuk formasi berkenaan.

“Selain itu, sekolah turut menyusun pelbagai program sepanjang menjelang hari kemerdekaan negara seperti pertandingan melukis poster dan seni kaligrafi,” katanya.

Murid Tahun 6, Marvick Nick Mierza, 12, berkata dia bersama rakan sekelas tidak sabar untuk membentuk formasi hati berkenaan.

“Ayah saya seorang askar, ia buat saya jadi lebih bersemangat untuk mengikuti acara ini,” katanya yang juga berketurunan Iban.

Rakannya, Khairul Ammar Khalil Aznan, 12, pula berkata dia bersemangat apabila melihat rakan saling bekerjasama menghasilkan formasi.

“Saya seronok dapat bersama dengan kawan buat bentuk hati. Saya sayangkan semua orang dan saya sayangkan negara saya,” katanya.

GURU menyusun murid seramai 297 yang terdiri daripada pelbagai kaum membuat formasi berbentuk hati sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-61 di SJKC Min Sin, Ampang Baru. - Foto Muhaizan Yahya
SERAMAI 297 murid SJKC Min Sin, Ampang Baru yang terdiri daripada pelbagai kaum membuat formasi berbentuk hati sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-61. - Foto Muhaizan Yahya
Berita Harian X