Sabtu, 25 Ogos 2018 | 7:41pm

14 lembu tumbang dalam Program Korban Titipan Kasih

KUALA LUMPUR: Bagi berkongsi keceriaan menyambut Aidiladha, Program Korban Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2018 menumbangkan 14 ekor lembu di Masjid Ar-Rahimah, Gombak, hari ini.

Program dengan kerjasama Takaful Ikhlas Berhad disertai 70 sukarelawan Persatuan Seni Silat Cekak (PSSCM) Malaysia.

Lebih 1,000 kariah Masjid Ar-Rahimah dari sekitar Gombak turut memeriahkan majlis dengan acara gotong royong menyembelih dan melapah.

Seramai 40 asnaf turut menerima sumbangan wang zakat, daging korban dan Kotak Rezeki sumbangan Harian Metro dan Takaful Ikhlas.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Am Takaful Ikhlas, Eddy Azly Abidin berkata, program korban kali kedua bersama Harian Metro adalah sebahagian aktiviti kemasyarakatan di bawah segmen kebajikan untuk membantu golongan memerlukan.

“Kita menyumbangkan 12 ekor lembu hasil penyertaan kakitangan untuk disumbangkan kepada golongan kurang berkemampuan.

“Kebanyakan penerima sumbangan adalah keluarga fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal,” katanya.

Sementara itu, Pengarang Eksekutif Projek Khas The New Straits Times Press (NSTP), Othman Mamat berkata, NSTP menyumbangkan dua ekor lembu hasil sumbangan kakitangan syarikat akhbar ini.

“Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak program berjalan lancar malah berjaya mengagihkan 1,000 bungkusan daging korban kepada penduduk sekitar.

“Kita turut mengagihkan 10 kotak rezeki Harian Metro khas untuk asnaf terpilih,” katanya.

Nazir Masjid Ar-Rahimah, Abd Rahman Satam berkata, pihaknya berterima kasih kepada Harian Metro yang memilih masjid berkenaan sebagai lokasi untuk program itu.

“Saya juga mengucapkan jutaan penghargaan kepada semua yang sudi membantu menjayakan program ini, kerana ia sekali gus mengukuhkan lagi jalinan ukhwah sesama masyarakat Islam,” katanya.

Sementara itu, ibu tunggal yang mempunyai enam anak, Kasmah Mehat, 66 berkata, dia bersyukur kerana tidak bantuan makanan yang diterima begitu banyak dan baginya ia cukup untuk bekalan selama tiga bulan.

“Terima kasih kepada penganjur kerana tidak melupakan nasib golongan yang memerlukan,” katanya.

Kasmah adalah antara 40 asnaf yang menerima sumbangan Program Korban Titipan Kasih.

Seorang lagi penerima, Azizah Mohamad, 75, berkata, dia mengucapkan syukur dengan rezeki diterima dan berharap program itu diteruskan lagi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak melupakan kami terutama ibu tunggal tidak berkemampuan yang begitu memerlukan bantuan,” katanya.

EDDY (duduk tengah) bersama Abd Rahman (duduk dua dari kanan), Othman (duduk dua dari kiri) dan Bendahari PSSCM, Faizol Md Saad (duduk kiri) pada Program Korban Titipan Kasih Harian Metro 2018 di Masjid Ar-Rahimah, Gombak, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq
PETUGAS bergotong-royong pada Program Korban Titipan Kasih Harian Metro 2018 di Masjid Ar-Rahimah, Gombak, hari ini. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X