Rabu, 22 Ogos 2018 | 10:54am

Sultan Johor solat sunat Aidiladha bersama 1,000 jemaah

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Pasir Pelangi di sini, bersama hampir 1,000 umat Islam.

Baginda tiba pada jam 8.20 pagi diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan suami Tunku Puteri Johor, Dennis Muhammad Abdullah.

Turut menyambut ketibaan ialah Menteri Besar, Datuk Osman Sapian; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani; Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan barisan EXCO.

Solat Sunat Aidiladha diimamkan Imam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Makhadzir Abdan, yang turut menyampaikan khutbah bertajuk ‘pengorbanan untuk agama Allah’.

Sultan Ibrahim turut berkenan meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk bersalaman dengan jemaah yang hadir sebelum berangkat meninggalkan masjid kira-kira jam 9.00 pagi.

SULTAN Ibrahim Iskandar diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bersalam dengan dengan rakyat ketika hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Pasir Pelangi, bersama hampir 1,000 umat Islam. - Foto Mohd Azren Jamaludin
SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar (lima, kanan) dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tiga, kanan) menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Pasir Pelangi hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X